Tottenham bertegas pecat Postecoglou

Tottenham bertegas pecat Postecoglou


London: Tottenham Hotspur memecat pengurus mereka, Ange Postecoglou, menurut kenyataan kelab itu, hari ini, meskipun jurulatih dari Australia itu berjaya membawa Spurs menjulang trofi utama pertama mereka dalam tempoh 17 tahun selepas menewaskan Manchester United dalam final Liga Europa, bulan lalu.

Pemecatan itu berlaku tepat dua tahun selepas pelantikan Postecoglou. Walaupun kemenangan di Bilbao bukan sahaja memberikan kejuaraan Eropah, tetapi juga tiket beraksi di Liga Juara-Juara musim depan, prestasi hambar dalam saingan domestik menjadi punca utama pemecatan beliau.

“Lembaga pengarah sebulat suara telah membuat keputusan bahawa perubahan adalah demi kepentingan terbaik kelab,” kata Spurs dalam satu kenyataan.

“Selepas permulaan positif dalam kempen Liga Perdana Inggeris 2023/24, kami hanya mengutip 78 mata daripada 66 perlawanan liga terakhir.

“Ia berakhir dengan kedudukan terburuk kami dalam sejarah Liga Perdana musim lalu.

“Kadang kala terdapat faktor luar jangka seperti kecederaan dan keputusan untuk memberikan keutamaan kepada kempen Eropah kami.

“Walaupun memenangi Liga Europa musim ini adalah antara detik terhebat dalam sejarah kelab, kami tidak boleh membuat keputusan berdasarkan emosi yang terikat pada kejayaan itu.

Tottenham menamatkan saingan musim lalu di tangga ke-17 Liga Perdana, menambahkan tekanan terhadap Postecoglou yang memasuki tahun keduanya sebagai pengurus kelab berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top