Dalam dunia automotif hari ini, penggunaan skrin sentuh sudah menjadi satu kebiasaan. Daripada kereta kompak segmen B sehinggalah ke supercar, hampir semua pengeluar berlumba-lumba menggantikan butang fizikal dengan paparan digital yang kelihatan lebih moden.
Namun pendedahan terbaru daripada CEO Ferrari Benedetto Vigna, membuka perspektif yang jauh lebih jujur tentang realiti di sebalik trend yang tular ini. Menurut beliau, sebab utama mengapa industri semakin beralih kepada kawalan berasaskan skrin sentuh bukanlah kerana pengguna benar-benar mahukannya, tetapi kerana faktor kos.
Tanpa berselindung, beliau menyatakan bahawa sistem kawalan sentuh boleh menjadi sehingga 50% lebih murah untuk dihasilkan berbanding butang fizikal tradisional. Ini kerana penghasilan butang fizikal melibatkan proses yang jauh lebih kompleks, termasuk pembangunan komponen mekanikal, acuan khas (tooling), serta pemasangan yang lebih rumit dan memakan masa.
Sebaliknya, skrin sentuh menawarkan pendekatan yang lebih ringkas dan murah. Dengan hanya satu permukaan digital, pelbagai fungsi boleh dimasukkan melalui perisian tanpa perlu menghasilkan komponen fizikal yang berasingan.
Dari sudut pengeluar, ini memberikan kelebihan besar dari segi kos, kecekapan produksi, dan fleksibiliti reka bentuk. Tidak hairanlah jika semakin banyak model baharu tampil dengan interior minimalis yang didominasi skrin.
Namun apa yang lebih menarik ialah Vigna sendiri mengakui bahawa peralihan ini bukan didorong oleh permintaan pengguna. Dalam kata lain, pengguna tidak semestinya meminta lebih banyak skrin, tetapi industri memilih arah tersebut kerana ia lebih menguntungkan dari sudut pengeluaran.
Ini bercanggah dengan naratif biasa yang sering menggambarkan skrin sentuh sebagai evolusi semula jadi kehendak pelanggan. Tetapi, Ferrari sendiri mula mengambil langkah ke arah yang bertentangan. Jenama ikonik itu kini kembali memberi fokus kepada butang fizikal dalam model-model terbaharu Ferrari
Ferrari turut menawarkan naik taraf (retrofit) untuk menggantikan kawalan sentuh kepada butang sebenar bagi model sedia ada. Keputusan ini bukan sekadar soal nostalgia, tetapi lebih kepada pengalaman pemanduan yang lebih intuitif dan selamat.
Butang fizikal memberikan maklum balas sentuhan (tactile feedback) yang jelas, membolehkan pemandu mengawal fungsi tanpa perlu mengalihkan pandangan dari jalan. Dalam situasi pemanduan sebenar, terutama pada kelajuan tinggi, aspek ini sangat penting.
Selain itu, butang fizikal juga sering dikaitkan dengan rasa premium dan kualiti yang lebih tinggi, aspek yang selari dengan identiti Ferrari sebagai pengeluar kereta prestasi tinggi. Melihat kepada perkembangan ini, Ferrari memperkenalkan pendekatan yang mereka gelar sebagai “phygital”, iaitu gabungan antara elemen fizikal dan digital.
Dalam konsep ini, fungsi penting seperti kawalan suhu, audio, dan tetapan asas akan kekal menggunakan butang fizikal, manakala fungsi tambahan atau konfigurasi kompleks boleh dikendalikan melalui skrin digital. Pendekatan ini cuba mencari keseimbangan antara kemudahan teknologi moden dan kepraktisan penggunaan harian.
Pendedahan ini memberi gambaran jelas bahawa tidak semua inovasi dalam industri automotif didorong oleh keperluan pengguna. Ada kalanya, ia berpunca daripada keputusan perniagaan semata-mata. Namun apabila jenama seperti Ferrari sendiri mula berpatah balik kepada butang fizikal, ia mungkin menjadi petanda awal bahawa industri akan kembali menilai semula keutamaan antara kos, teknologi, dan pengalaman pemanduan sebenar






