hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jenazah Lans Koperal Mohd Afandi Jahwin yang dipercayai lemas ketika menyeberangi Sungai Merah di Hutan Royal Belum, Gerik di Perak selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Jamerong, Sarawak pada 8.45 malam, Selasa.
Sel Perhubungan Raya Tentera Darat dalam kenyataan berkata, jenazah Allahyarham Mohd Afandi dibawa keluar dari lokasi operasi dengan pesawat udara pada 12.41 tengah hari, semalam sebelum dibawa ke Hospital Taiping untuk proses bedah siasat.
Menurutnya, solat jenazah juga dilakukan di Surau Sallehuddin Al-Ayubi, 23 RAMD pada 2.15 petang dan diterbangkan dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh dengan pesawat C130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Sarawak, jam 3.45 petang.
“Jenazah tiba di Lapangan Terbang Sibu pada 6.25 petang dan seterusnya diterbangkan dengan pesawat EC725 TUDM ke Kampung Jamerong.
“Jenazah sudah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Jamerong pada 8.45 malam (Selasa),” katanya kenyataan itu.
Kenyataan itu berkata, sementara itu usaha pencarian seorang lagi anggota iaitu Lans Koperal Ahmad Zulhilmi Ahmad Tamizi masih diteruskan oleh 7 Tim Operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Katanya, pasukan SAR terdiri daripada lima pegawai dan 112 anggota lain-lain pangkat (LLP) daripada pasukan 2 RRD, 23 RAMD dan 22 Komando bermula dari tempat kejadian di Sungai Merah menyusuri sepanjang Sungai Perak.
“Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan seluruh warga Tentera Darat Malaysia (TDM) turut berdukacita di atas kehilangan seorang warganya dan menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Mohd Afandi, semoga mereka tabah dengan kehilangan ini.
“Semoga Allahyarham ditempatkan bersama mereka yang beriman. PTD juga berharap seluruh rakyat Malaysia terus mendoakan agar anggota yang masih hilang iaitu Ahmad Zulhilmi akan segera ditemui dalam keadaan selamat,” katanya.
Menurut kenyataan itu, kejadian berlaku kira-kira jam 8 pagi, Sabtu lalu yang mana satu laporan diterima memaklumkan terdapat sembilan anggota dipercayai dibawa arus dalam kejadian kepala air ketika melaksanakan rondaan berhampiran Sungai Merah di Permatang sempadan Malaysia-Thailand dalam Operasi KOTA, ECHO, FOXTROT Siri 6/2024 di Banding, Perak.
Katanya, dua anggota didapati hilang iaitu Mohd Afandi adalah anggota daripada pasukan 21 Komando, Kem Sungai Udang, Melaka dan Ahmad Zulhilmi, adalah anggota daripada pasukan 22 Komando, Kem Iskandar Mersing, manakala tujuh lagi anggota ditemukan selamat sekitar jam 12.30 tengah hari pada hari sama.
“Tindakan segera sudah dilancarkan dengan mengarahkan usaha pencarian menggunakan bot, berjalan dan tinjauan udara dengan mengaturgerak 3 Tim Quick Reaction Force (QRF) daripada pasukan Rejimen ke-2 Renjer Diraja (RRD) iaitu Tim QRF 1 berkekuatan seorang pegawai dan 13 anggota LLP, Batalion ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) iaitu Tim QRF 2 berkekuatan (1 Pegawai dan 26 LLP) dan Tim QRF 3 berkekuatan (1 Pegawai dan 29 LLP).
“Sebuah pesawat TUDM iaitu EC 725 dari Pangkalan Udara Butterworth turut digunakan untuk membawa pasukan SAR ke lokasi kejadian,” katanya.
Menurutnya, seorang anggota yang hilang iaitu Mohd Afandi yang berasal dari Matu, Sarawak ditemui di tepi sungai kira-kira tiga kilometer dari kedudukan Markas Trup dan disahkan sudah meninggal dunia.
“Sementara Ahmad Zulhilmi yang berasal dari Kampung Padang Limau, Sungai Petani Kedah belum ditemui sehingga kini.
“Kedua-dua anggota berkenaan masih belum berkahwin,” katanya.
Mengulas lanjut, kenyataan itu berkata, Operasi KOTA, ECHO, FOXTROT adalah operasi pengawasan dan pemantauan keselamatan sempadan yang dijalankan di kawasan Banding Perak, melibatkan penguatkuasaan sempadan negara oleh pasukan keselamatan.
Katanya, operasi itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan oleh pihak berkuasa untuk memastikan ketenteraman awam, mencegah ancaman keselamatan dan membendung aktiviti jenayah rentas sempadan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.
Semalam, media melaporkan seorang anggota tentera ditemukan meninggal dunia dipercayai akibat lemas manakala seorang lagi masih hilang selepas dihanyutkan arus deras semasa menyeberangi Sungai Merah, Gerik.
© New Straits Times Press (M) Bhd