May 18, 2024

Tragedi solat Aidilfitri: 3 maut, 3 lagi parah dirempuh kereta, pemandu positif ganja



am@hmetro.com.my

Teluk Intan: Hajat enam lelaki warga Pakistan untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri berakhir tragedi apabila tiga antara mereka maut, manakala tiga lagi parah akibat dirempuh sebuah kereta di Kilometer 16 Jalan Teluk Intan-Bidor, di sini, pagi tadi.

Difahamkan, ketika kejadian semua mangsa berjalan kaki dari rumah ke masjid berhampiran.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 8.10 pagi.

“Hasil siasatan di tempat kejadian, kereta Proton Saga yang dipandu seorang lelaki berusia 36 tahun dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri bahu jalan dan seterusnya terlanggar enam pejalan kaki yang melalui bahu jalan terbabit.

“Akibat kemalangan itu, tiga daripada mereka yang berusia antara 20 hingga 35 tahun disahkan meninggal dunia, manakala tiga lagi cedera parah dan dirawat di Hospital Teluk Intan.

“Semua mangsa mempunyai permit dan dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing terhadap pemandu Proton Saga mendapati lelaki terbabit positif ganja dan polis bertindak menahan suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Amirrudin Shafiei di talian 013-9126959 atau 05-6122222 bagi membantu siasatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top