LANGKAH memperkukuh ekosistem pembangunan atlet negara memasuki fasa baharu menerusi penyelarasan 20 jenis Sukan Teras Prestasi Tinggi bagi melahirkan atlet berkualiti di pentas dunia.
Usaha tersebut melibatkan empat pemegang taruh terdiri daripada Majlis Sukan Negara (MSN), Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK).
Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata, inisiatif itu bagi memastikan pembangunan atlet negara dilaksanakan secara menyeluruh dan bersepadu, bermula seawal peringkat sekolah sehingga ke institusi pengajian tinggi sebelum menyertai program kebangsaan.
“MSN melaksanakan 20 sukan itu termasuk sukan-sukan lain. KPT dan KPM juga akan melaksanakan pendekatan sama berdasarkan kepada kelulusan peringkat masing-masing, itu paling utama.
“Maksudnya, semua agensi akan melaksanakan 20 sukan teras prestasi tinggi di peringkat agensi masing-masing.
“Keduanya mengenai pelaksanaan program latihan, KPM dan KPT mempunyai program latihan masing-masing dan mereka juga akan melaksanakan program latihan mengikut senarai sukan yang telah ditetapkan,” katanya pada sidang media di MSN, Bukit Jalil pada Selasa.
Jefri
Terdahulu, MSN mengadakan perbincangan meja bulat bersama KPM, KPT dan PSK yang merupakan pemain utama kepada usaha tersebut.
Ia dihadiri Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik KPT, Dr Hanafiah Ayub dan Ketua Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Sukan, Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian KPM, Norhamimi Othman.
Dalam pada itu, Hanafiah menyambut baik usaha penyelarasan di semua peringkat sebagai langkah memperkemas pelaksanaan program pembangunan atlet negara.
“Dengan usaha ini, kita akan ada penyelarasan yang lebih konsisten. Maknanya, sumber yang kita ada disejajarkan dengan agenda negara, bagus kita dapat bersama-sama,” katanya.
Norhamimi pula melahirkan komitmen untuk bekerjasama rapat dengan MSN dan KPT dalam usaha melahirkan atlet berprestasi tinggi.
“Kita tahu KPM adalah asas kepada semua, asas untuk melahirkan atlet segala bermula daripada sekolah,” katanya.
Kerajaan pada April lalu menetapkan 20 jenis Sukan Teras Prestasi Tinggi sebagai langkah strategik untuk memperkukuh pembangunan sukan negara secara lebih cekap, sistematik dan berfokus.
Perkara tersebut ditetapkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan (JKPS) Bilangan 1/2025 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Sukan itu melibatkan akuatik (renang dan terjun), angkat berat, badminton, basikal (trek), boling padang, e-sukan, gimnastik (artistik dan gimrama), hoki, karate, memanah, menembak, olahraga, pelayaran, ping pong, sepak takraw, silat, skuasy, taekwondo, tenpin boling dan wushu.