Transformasi Harimau Malaya perlu diteruskan

Transformasi Harimau Malaya perlu diteruskan


JURULATIH berpengalaman, Raja Isa Raja Akram Shah menyeru agar proses pembaharuan bola sepak tanah air diteruskan secara berterusan dan konsisten susulan kejayaan skuad kebangsaan menundukkan Vietnam baru-baru ini.

Menurut beliau, kejayaan tersebut adalah bukti bahawa hala tuju baharu yang diterajui oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, semakin diterima komuniti bola sepak negara termasuklah dalam kalangan penyokong tegar sukan nombor satu tanah air itu.

“Pihak yang masih ragu-ragu terhadap transformasi yang sedang dijalankan harus membuka mata dan melihat kepada sokongan padu yang diberikan lebih 60,000 penyokong di stadium pada Selasa lalu.

“Saya yakin, kumpulan yang skeptikal terhadap usaha ini semakin mengecil setelah melihat sendiri bagaimana Ultras Malaya dan para penyokong memberikan semangat luar biasa ketika perlawanan menentang Vietnam, selepas kemenangan ke atas Nepal sebelum ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Tambahnya lagi, komuniti bola sepak negara wajar memberikan ruang dan kepercayaan sepenuhnya kepada Tunku Mahkota Ismail dalam menjayakan projek revolusi bola sepak nasional pertama ini.

“Sejujurnya, isu berkaitan pemain warisan dan naturalisasi yang dahulunya menjadi polemik, kini bukan lagi halangan besar. Malah, FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) sendiri mengesahkan kelayakan negara-negara untuk menggunakan pemain warisan dan naturalisasi secara sah,” ujarnya.

Raja Isa yang pernah melatih beberapa kelab di rantau Asia Tenggara turut menekankan bahawa penyokong bola sepak perlu bersikap lebih terbuka terhadap perubahan dalam ekosistem bola sepak moden.

“Kita masih berbicara tentang nilai patriotisme dan jati diri, tetapi realitinya bola sepak global sudah berubah. Jika kita menolak revolusi ini, kita harus bersedia menggubal pelan pembangunan yang lebih panjang, mungkin 10 atau 15 tahun untuk melahirkan pemain tempatan yang benar-benar berdaya saing,” tegasnya.

Pada masa sama beliau turut menyatakan bahawa isu keraguan terhadap pemain warisan dan naturalisasi bukan hanya berlaku di Malaysia, bahkan turut melanda Indonesia suatu ketika dahulu.

“Namun, selepas kejayaan Malaysia menewaskan Vietnam, salah satu kuasa besar bola sepak rantau ini, saya percaya negara jiran seperti Kemboja, Thailand dan Vietnam sendiri akan mula mencontohi pendekatan Malaysia sekiranya mereka berhasrat ke pentas Piala Dunia,” katanya.

Sementara itu, Raja Isa optimis bahawa perubahan yang dibawa oleh Tunku Mahkota Ismail adalah satu proses jangka pendek yang boleh membawa impak besar.

“Secara peribadi, saya melihat revolusi ini sebagai strategi untuk jangka pendek. Saya percaya Malaysia berpeluang untuk layak ke pusingan akhir Piala Dunia menjelang tahun 2030.

“Saya juga memuji keberanian pemilihan pemain warisan yang nyata memiliki mutu permainan di tahap tinggi, sekali gus memperkukuh cabaran Malaysia untuk melangkah ke Piala Asia Arab Saudi 2027,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top