Transit kelapa dalam stor haram sebelum seludup ke Thailand guna perahu

Transit kelapa dalam stor haram sebelum seludup ke Thailand guna perahu



nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: Bekalan kelapa dibawa ke stor haram di tepi Sungai Golok menggunakan lori atau treler untuk ditransit sebelum ianya diseludup ke Thailand menggunakan perahu secara berperingkat.

Itu modus operandi yang digunakan penyeludup bagi kegiatan penyeludupan kelapa ke Thailand.

Bagaimanapun taktik licik itu dikesan pihak berkuasa selepas Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 41,000 kilogram buah kelapa bernilai RM205,000 menerusi Op Taring Wawasan.

Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata rampasan itu dilakukan selepas pihaknya menahan sebuah treler yang dipandu seorang lelaki di sekatan jalan raya (SJR) Neting, Pengkalan Kubor, Tumpat jam 10.15 malam kelmarin.

Katanya, pemeriksaan terhadap lori terbabit menemui 41,000 kg buah kelapa tanpa dokumen yang sah dipercayai untuk diseludup ke Thailand.

“Kes disiasat di bawah Peraturan 4(2)(b) Akta Fama 141 Rancangan Pemasaran Kelapa 1973 dan barang rampasan diserahkan kepada Komtak Pengkalan Kubor.

“Siasatan mendapati kebanyakan kegiatan penyeludupan kelapa ini bergiat aktif di Pengkalan Kubor dan mereka menggunakan stor haram di kawasan Pulau Ular sehingga Nibong untuk menyimpan bekalan terbabit.

“Sebaik mendapati keadaan selamat, mereka akan menghantar bekalan kelapa itu menggunakan perahu menyeberangi Sungai Golok secara berperingkat,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, buah kelapa antara barangan yang biasa diseludup ke Thailand dan sepanjang tahun ini, beberapa siri rampasan dilakukan membabitkan lebih 200 tan dengan nilai lebih RM1 juta.

“PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan dari terus berleluasa di sempadan negara,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nik Ros Azhan, berkata pihaknya turut merampas 820 petrol di dua lokasi berasingan di stor Surau Lama, Rantau Panjang dan Pengkalan Haram Tualang, Tumpat.

Katanya, jumlah rampasan keseluruhan termasuk dua buah kereta membabitkan RM25,680.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top