Transkrip penuh antara Chris Kavanagh dan VAR ketika mereka membuat keputusan itu telah didedahkan. Foto Agensi
KONTROVERSI perlawanan Arsenal menentang West Ham United terus menjadi perhatian apabila transkrip penuh komunikasi video bantuan pengadil (VAR) bagi insiden gol lewat permainan didedahkan, sekali gus menjelaskan sebab jaringan penyamaan dibatalkan.
Insiden pada penghujung aksi menyaksikan Callum Wilson menyangka beliau menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-95.
Bagaimanapun, keputusan di atas padang berubah selepas semakan VAR dikendalikan Darren England.
Semakan mendapati berlaku kekasaran terhadap penjaga gol Arsenal, David Raya ketika situasi sepakan sudut, termasuk insiden tarikan pada jersi dan gangguan terhadap pergerakan tangannya ketika cuba merebut bola.
Rakaman audio komunikasi VAR menunjukkan pegawai perlawanan membincangkan beberapa sudut rakaman sebelum menyimpulkan wujud “foul on the goalkeeper” yang memberi kesan langsung kepada kemampuan Raya untuk bermain bola.
VAR turut menilai insiden itu berlaku lebih awal dalam fasa serangan, sebelum pengadil Chris Kavanagh diminta ke monitor bagi melakukan semakan di padang.
Selepas meneliti beberapa sudut rakaman, pengadil akhirnya bersetuju terdapat unsur pegangan yang jelas terhadap Raya, sebelum membatalkan gol West Ham dan memberikan sepakan percuma kepada Arsenal.
Ketua Badan Pengadil Profesional England (PGMOL), Howard Webb, mempertahankan keputusan tersebut dengan menyifatkan gangguan terhadap penjaga gol sebagai “kesalahan jelas dan ketara” selaras dengan garis panduan pengadilan musim ini.
Beliau menjelaskan bahawa penjaga gol yang dihalang daripada menggunakan tangan secara bebas ketika mengawal bola perlu dilindungi, terutama dalam situasi bola tinggi di kawasan penalti yang sesak.
Keputusan itu terus mencetuskan perdebatan dalam kalangan penyokong kedua-dua pasukan, dengan sebahagian berpendapat insiden tersebut terlalu ketat untuk membatalkan gol pada saat akhir perlawanan.
Namun, pihak pengadil menegaskan semakan VAR mengesahkan gangguan terhadap penjaga gol sebagai faktor utama yang mengubah keputusan asal di padang.






