Traore jadi senjata baharu West Ham

Traore jadi senjata baharu West Ham


London: Kelab bergelut Liga Perdana Inggeris (EPL), West Ham United terus menguatkan jentera serangan apabila mengesahkan kehadiran pemain sayap berpengalaman, Adama Traore, dari Fulham dengan yuran perpindahan tidak didedahkan.

Kehadiran Traore menyaksikan dia kembali bekerjasama dengan pengurus, Nuno Espirito Santo, yang pernah membimbingnya ketika bersama Wolves, dalam usaha West Ham keluar daripada zon penyingkiran.

Pemain berusia 30 tahun itu disifatkan kelab sebagai pemain yang kental, pantas serta berupaya mencipta dan menjaringkan gol, sekali gus memberi dimensi baharu di bahagian serangan.

Traore yang kurang mendapat minit permainan bersama Fulham musim ini, memiliki pengalaman luas EPL selepas mencatat 262 penampilan dengan 14 gol, selain pernah menyarung jersi Barcelona, Aston Villa, Middlesbrough dan Wolves.

“Saya suka cabaran. Saya mahu membantu pasukan ini semaksimum mungkin. Segalanya bermula dengan kepercayaan dan saya percaya kami mampu capai apa yang disasarkan,” kata Traore.

Nuno pula menyifatkan Traore sebagai aset penting dalam misi getir pasukan sehingga penghujung musim.

“Dia mengenali EPL dengan sangat baik. Kualitinya sebagai pemain dan individu akan membantu kami. Dia memberi pilihan berbeza di bahagian serangan dan bersedia berjuang,” katanya.

West Ham kini menghuni tangga ketiga tercorot liga, lima mata di belakang zon selamat, namun moral pasukan meningkat selepas mencatat dua kemenangan berturut-turut ke atas Tottenham Hotspur dan Sunderland.

Kelab itu juga aktif dalam jendela perpindahan Januari dengan membawa masuk Pablo Felipe dan Taty Castellanos ketika mereka berusaha mengelak penyingkiran sebelum jendela ditutup Isnin ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top