lizamridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: EON Capital Sdn Bhd, anak syarikat di bawah kumpulan DRB-HICOM melancarkan Tras iaitu platform digital pertama di Malaysia yang menawarkan penyelesaian pembiayaan automotif bersepadu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kazrin Khairul Anuar berkata, Tras dibangunkan untuk menjadi rakan strategik dalam penyelesaian kewangan automotif yang memudahkan pelanggan membuat keputusan lebih bijak.
“Menerusi platform ini, pelanggan mendapat produk yang sesuai, tawaran tepat serta sokongan berterusan mengikut keperluan mereka,” katanya ketika majlis pelancaran.
Majlis itu disempurnakan oleh Pengarah Urusan Kumpulan, DRB-HICOM Berhad, Tan Sri Syed Faisal Albar dan turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif EON, Akkbar Danial.
Dimiliki dan dikendalikan oleh Tras, ia diwujudkan bagi memudahkan proses permohonan pembiayaan kenderaan antara pelanggan, pengedar kereta dan institusi kewangan dan menawarkan pengalaman digital yang lebih pantas, selamat serta fleksibel.
Buat masa ini, Tras bekerjasama dengan tiga bank berlesen tempatan yang membolehkan pelanggan menghantar permohonan serentak dengan kadar kompetitif serta kelulusan boleh diperoleh seawal 30 minit bergantung pada dokumen lengkap.
Selain kemudahan perbandingan pakej pembiayaan, Tras turut dilengkapi fungsi “CarCulator” iaitu ciri alat pintar yang bukan sahaja mengira jumlah bayaran bulanan, malah mencadangkan model kenderaan yang sesuai dengan kemampuan kewangan pelanggan.
Platform ini juga menawarkan pilihan perlindungan tambahan menerusi Extended Warranty Programme, yang memberikan jaminan sehingga dua tahun selepas tempoh waranti pengeluar tamat. Ia membantu pembeli mengurangkan risiko kos pembaikan mengejut dan menambah keyakinan terhadap pemilikan kenderaan jangka panjang.
Sempena pelancaran, Tras menawarkan kadar istimewa serendah 1.79 peratus untuk pembelian kereta terpilih, di samping diskaun 10 peratus untuk program waranti tambahan bagi model Proton (bukan EV), Mitsubishi, Audi dan Volkswagen di bawah rangkaian pengedar EON.
Promosi ini berlangsung sehingga 16 September 2025 dengan jaminan keputusan pinjaman dalam tempoh 24 jam atau pelanggan akan menerima pampasan RM50 dalam bentuk e-wallet Touch ‘n Go.
© New Straits Times Press (M) Bhd