Pelakon Abby Abadi tampil menjelaskan bahawa ucapan ulang tahun yang dimuat naik sempena hari lahir anaknya, Marissa Dania, bukan bertujuan memarahi anaknya, sebaliknya sekadar meluahkan isi hati sebagai seorang ibu.
Tak pernah gagal rai ulang tahun anak, namun tahun ini…
Menurut Abby dalam kenyataan di media sosial, dia tidak pernah gagal meraikan hari istimewa anak-anaknya setiap tahun, namun tahun ini keadaan tidak mengizinkan untuk mengadakan sambutan seperti kebiasaan.
“Jangan salah faham. Saya update ucap selamat ulang tahun untuk anak saya, Marissa Dania tu bukan saya marahkan dia.
Saya cuma nak dia tahu hari-hari istimewa anak-anak sentiasa dalam ingatan saya. Tak pernah sekalipun saya gagal meraikan kecuali tahun ini,” ujarnya.
Imbau keperitan dihadapi membesarkan anak-anak
Menerusi perkongsian panjang di media sosial, Abby turut mengimbau pengorbanannya sejak mengandungkan anak pertama sehingga melahirkan ketiga-tiga cahaya mata.
Dakwanya, dia banyak melalui tempoh kehamilan dan proses melahirkan seorang diri tanpa sokongan yang diharapkan daripada bekas suami.
“Cuma saya nak anak-anak saya tahu, dari awal mengandung, sampailah melahirkan kamu semua, mamamu ini berjuang sendiri,” jelasnya.
Abby turut mendakwa pengalaman sama berulang ketika mengandungkan anak ketiga sehingga akhirnya dia bercerai ketika masih dalam tempoh berpantang.
“Dalam pada tak bahagia itu, termengandung juga untuk kesekian kali. Anak nombor tiga. Lagi hambar layanannya. Berbulan-bulan tak balik, tidur di pejabat, shooting tak habis-habis,
Kita ni dalam pada sarat-sarat mengandung memandu sorang-sorang mencari ke sana ke sini. Tinggalkan anak dengan arwah mak… akhirnya? Bercerai waktu dalam pantang… sebab bercerai? Hurmm google lah sendiri,” tulisnya lagi.
Hubungan renggang dengan bekas suami setelah bangkitkan isu keadilan
Selepas berpisah, Abby memaklumkan dia memilih untuk menerima takdir dan memberi fokus sepenuhnya kepada anak-anak selain berniaga demi meneruskan kehidupan.
Katanya, hubungan mula menjadi renggang apabila dia membangkitkan soal keadilan terhadap anak-anak serta isu nafkah yang didakwanya tidak pernah diterima.
“Start terasa & makin tak boleh ngam itu bila saya bangkitkan isu KEADILAN untuk anak-anak saya. Tak selesai kat dunia, akhirat pasti bertemu jua,”
Mengakhiri perkongsiannya, Abby mengakui pengalaman dilalui meninggalkan trauma yang sukar dipulihkan, namun dia tetap berusaha untuk terus kuat demi anak-anak.
“Baru saya faham makna TRAUMA. Trauma ialah luka yang tidak kelihatan pada emosi atau fikiran akibat pengalaman yang sangat memberi kesan,” katanya lagi.
Menerusi ruangan kapsyen, Abby menyatakan sebenarnya masih banyak perkara yang dipendam selama ini, namun dia memilih untuk berkongsi sebahagian daripada kisah tersebut agar pihak berkaitan memahami luka yang ditanggungnya selama bertahun-tahun.
Jelasnya, sebelum ini dia hanya memperlihatkan sisi indah kepada anak-anak, namun keadaan yang berlaku kebelakangan ini membuatkan dia merasakan sudah tiba masanya untuk bersuara supaya segala pengorbanan dan kesakitan yang pernah dilalui tidak terus dipandang sepi.









