am@hmetro.com.my
Kulai: “Saya masih trauma setiap kali lihat minyak panas dalam kuali,” kata A Nachathira, 6, yang tidak dapat melupakan kejadian dua tahun lalu menyebabkan dia melecur separuh badan akibat terjatuh ke dalam kuali berisi minyak panas.
Katanya, kejadian itu berlaku ketika keluarganya sedang membuat muruku di rumah keluarganya di Perak yang menyebabkan kedua kakinya mengalami kecacatan kekal.
“Ketika itu ahli keluarga membuat muruku, pada masa itu saya yang bermain telefon tiba-tiba terjatuh dalam kuali berisi minyak panas.
“Luka di kaki hingga paras paha sudah sembuh namun saya masih tidak dapat berjalan. Saya kehilangan beberapa jari kaki kiri, manakala kaki kanan juga lemah dan terpaksa bertongkat atau menggunakan kerusi roda.
“Saya kini tinggal di rumah nenek dan selepas kejadian berkenaan, ini adalah pertama kali saya keluar membeli-belah,” katanya.
Anak ketiga daripada lima beradik itu penerima sumbangan sempena Deepavali di Pasaraya Econsave Cash and Carry di Senai di sini, kelmarin.
Sementara itu, S Katherine, 44, berkata, dia mengambil alih tanggungjawab untuk menjaga Nachathira dan cucu yang lain berusia dua hingga 10 tahun selepas anak perempuannya bercerai.
Menurutnya, dia bergantung kepada pendapatan hasil menjual tisu dan pen di jalanan bagi menampung kos menyara keluarga selepas suaminya, A Vasanthan, 55, bercuti sakit akibat menjalani pembedahan jantung.
Katanya, nasibnya umpama jatuh ditimpa tangga apabila terbabit dalam kemalangan pada minggu lalu ketika menaiki motosikal dan mengalami patah tangan kiri.
“Suami saya bekas pengawal keselamatan di sebuah syarikat swasta dan dia masih dalam cuti sakit selepas pembedahan jantung sebulan lalu.
“Kadang-kala saya hanya memasak sup sayur bagi cucu bagi mengalas perut mereka. Setakat ini kami hanya mampu menyekolahkan cucu sulung manakala cucu bongsu saya juga menghidapi masalah buah pinggang kronik.
“Dalam keadaan kami ini ibarat kais pagi makan, kais petang makan petang, kami tidak mampu mendapatkan rawatan sesuai atau pembedahan plastik bagi Nachathira,” katanya selepas menerima sumbangan barangan keperluan Deepavali disampaikan oleh Pengurus Pasaraya Econsave Cash and Carry, Mas Imran Adam
Hadir sama Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Komuniti Johor Bahru, M Caren.
Mas Imran berkata, seramai 30 individu termasuk 25 kanak-kanak dari Pertubuhan Kebajikan Komuniti Johor Bahru masing-masing menerima pakaian dan barangan persiapan Deepavali bernilai RM150.
Menurutnya, pihaknya berharap sumbangan berkenaan dapat memeriahkan lagi sambutan Deepavali dalam kalangan penerima.
“Kami juga berharap keadaan kanak-kanak yang mengalami kecacatan, Nachitra semakin baik dan mampu bersekolah,” katanya.
Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan kepada keluarga Katherine di akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Katherine di 011624110007355.
© New Straits Times Press (M) Bhd