KLANG: Rokok elektronik dijangka menjadi trend penyeludupan baharu dalam kalangan sindiket apabila sekatan daripada dijual secara terbuka di negara ini yang dikuatkuaskan sejak Oktober lalu.
Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Muda Mohd. Zawawi Abdullah, berkata situasi itu dilihat menerusi trend penyeludupan rokok yang kini berleluasa di seluruh negara.
Menurutnya, perubahan terhadap penyeludupan rokok kini dilakukan oleh sindiket secara besar-besaran termasuk membawa masuk ke negara ini menggunakan kontena.
“Sekarang vape pula akan masuk sebab kerajaan hendak sekat barangan itu daripada dijual berleluasa, benda itu akan jadi penyeludupan.
“Contoh rokok, di seluruh negara rokok seludup bersepah-sepah, bukan kecil-kecil lag, tetapi dibawa masuk satu kontena dan kapal-kapal besar. Modus operandi (MO) itu yang akan bertukar-tukar,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Penutupan Operasi (Op) Redback 19/2024, hari ini.
Malah jelasnya, MO penyeludupan di perairan negara ini juga dikenal pasti berubah-ubah termasuk menyamar sebagai bot nelayan, berbanding sebelum ini bersembunyi di sebalik kapal besar di laluan perdagangan bagi mengelak daripada dikesan radar.
“Dahulu, bot-bot penyeludup akan duduk di sebelah kapal dagang untuk bersembunyi dan radar takkan dapat kesan. Kemudian dia akan tinggalkan kapal dan potong masuk perairan negara. Kita takkan nampak apa-apa pun.
“Tetapi, sekarang sudah tidak seperti itu, mereka ubah jadi macam bot pemancing (nelayan). Bot pemancing terapung dalam dua atau tiga jam, kita leka, mereka masuk. Senang mereka buat, rokok dan orang itu paling senang mereka buat (seludup),” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd. Zawawi turut memaklumkan trend penyeludupan diesel menurun apabila kerajaan menguatkuasakan pemberian subsidi bahan api itu secara bersasar.
“Contoh macam ketirisan diesel, sama juga. Cuma bila kerajaan sudah buat harganya tinggi dengan menghapuskan subsidi terbuka, jadi sudah berkurangan penyeludupan diesel.
“Tetapi, untuk ketirisan minyak yang berlaku di perairan negara ini sebenarnya tangkapan yang kita buat tidak banyak, kerana di laut memerlukan satu kapal yang besar untuk mereka pindahkan dalam kuantiti yang banyak. Itu yang menyebabkan berlaku ketirisan diesel,” jelasnya. – UTUSAN