TIGA beradik pelumba cilik negara, Wan Ayden Maleeq, Wan Adra Mikayla dan Wan Faith Mikael mencipta sensasi apabila menamatkan saingan di podium pada kejohanan Festival of Speed di Litar Antarabangsa Petronas Sepang (SIC) baru-baru ini.
Kejayaan trio yang digelar sebagai ‘3M Rider Malaysia’ bukan sahaja mencuri perhatian peminat tempatan, malah turut mengangkat nama Malaysia di peringkat antarabangsa memandangkan kejohanan itu menghimpunkan pelumba pocket bike dari dalam dan luar negara.
Aksi di Sepang menyaksikan adik bongsu, Wan Faith Mikael mencatat prestasi paling cemerlang apabila meraih gelaran juara dalam kedua-dua perlumbaan (Race 1 dan Race 2).
Kejayaan berganda itu mengukuhkan lagi reputasinya sebagai antara pelumba cilik paling menyerlah ketika ini.
Tun Mahathir (tiga dari kiri) dan Wan Mohd Muzri (dua dari kanan) bersama Wan Faith Mikael serta Wan Ayden Maleeq sebelum perlumbaan.
Mikael sebelum ini turut mendominasi RCB Minimoto Championship 2025 dengan muncul juara di Litar Tangkak, Johor, serta menguasai Litar LYL International Karting Circuit dengan dua kemenangan dan satu naib juara.
Secara keseluruhan, Mikael sudah mengumpul lima gelaran musim ini, menjadikannya prospek cerah untuk diketengahkan ke pentas lebih besar.
Kakaknya, Wan Adra Mikayla juga membuktikan keupayaan apabila berjaya menamatkan saingan di tempat ketiga dalam kategori ‘Novice Open Festival of Speed’.
Walaupun berdepan cabaran sengit daripada pelumba lelaki, Adra tetap konsisten dan pernah mencatat kejayaan manis apabila dinobatkan juara RCB Minimoto Championship 2025 di Horizon Beranang Circuit.
Turut mencuri perhatian ialah aksi Wan Ayden Maleeq yang berjaya mengekalkan konsistensi dengan menamatkan perlumbaan di tempat ketiga bagi kedua-dua perlumbaan di Sepang.
Sebelum ini, Ayden meraih podium kedua dan ketiga di Litar LYL, sekali gus membuktikan bakatnya semakin matang.
Kejayaan ketiga-tiga adik-beradik ini menonjolkan semangat kesukanan yang tinggi walaupun masih muda.
Tahun ini, ribuan peminat memenuhi litar bagi menyaksikan sendiri aksi generasi pelumba baharu, termasuk trio cilik dari Malaysia ini.
Presiden M8 Cycling Club, Datuk Seri Wan Mohd Muzri Ramli berkata, pelumba muda seperti Wan Ayden, Wan Adra dan Wan Faith menunjukkan perkembangan positif sukan permotoran negara kerana mereka bukan sekadar bertanding, malah sudah mampu bersaing rapat dengan pelumba dari luar negara.
“Lebih istimewa, semangat kekeluargaan yang ditunjukkan oleh tiga beradik ini menjadi sumber inspirasi kepada ramai pihak. Mereka berlatih bersama, saling memberi dorongan dan sering berkongsi strategi di litar sebelum setiap perlumbaan bermula.
“Kejayaan ini adalah hasil daripada minat mendalam anak-anak dalam dunia perlumbaan sejak usia kecil lagi. Sokongan keluarga juga dianggap faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan mereka di pentas besar seperti Sepang.
“Pencapaian ‘3M Rider Malaysia’ di Festival of Speed membuktikan bahawa bakat tempatan mampu menyerlah jika diberi peluang dan pendedahan sewajarnya.
“Menerusi disiplin, latihan berterusan serta sokongan daripada pihak berkaitan, tidak mustahil trio adik-beradik ini bakal menjadi wajah baharu permotoran Malaysia pada masa akan datang,” katanya.
Bagi pemerhati sukan bermotor, pencapaian mereka adalah petanda positif bahawa Malaysia mempunyai pelapis dalam sukan pocket bike yang boleh diketengahkan di peringkat lebih kompetitif seperti Asia Talent Cup dan MotoGP junior.
Festival of Speed yang dianjurkan setiap tahun itu menjadi medan penting buat pelumba muda mengasah bakat kerana ia diadakan di litar bertaraf antarabangsa, sekali gus memberi pengalaman sebenar suasana perlumbaan profesional.
Turut hadir pada festival itu ialah bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.