Trio emas mudah libas Jepun

Trio emas mudah libas Jepun

Trio emas mudah libas Jepun


ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ia bagaikan sesi latihan dan medan melakukan eksperimen apabila trio negara, Syahir Rosdi, Azlan Alias bersama ketua pasukan, Farhan Adam tidak berdepan masalah apabila mudah mengatasi Jepun 2-0 pada aksi peringkat kumpulan acara regu di Stadium Titiwangsa sebentar tadi.

Aksi meyakinkan ‘trio emas’ negara itu membolehkan mereka berjaya memenangi set pertama dengan kemenangan 15-4, serta memberi peluang buat Syahir mencuba servis kencang dan pendek untuk memerangkap Daishi Tamaki (tekong), Ikki Mito (pengumpan) dan Shuma Takata (perejam).

Selepas melaksanakan tugas dengan cemerlang, tekong simpanan negara, Haziq Hairul Nizam turut diberi peluang memperagakan aksi sebelum set pertama tamat.

Bagaimanapun, Jepun yang turut memberi peluang tekong kedua, Masaki Sasamoto beraksi di set kedua berjaya meningkatkan permainan dan pada satu ketika berjaya mendahului Malaysia 12-10, sebelum trio negara kembali memperkemaskan rentak sekali gus mencatat kemenangan 15-13.

Ketua jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun turut memberi peluang buat perejam simpanan, Noraizat Nordin beraksi di set kedua, dengan harapan dapat memecahkan tiga hadangan depan jaring yang sering dilakukan trio Jepun.

Kemenangan ini boleh dikatakan sudah mengesahkan tempat buat Malaysia ke suku akhir dan aksi terakhir menentang Singapura Isnin depan untuk memburu juara Kumpulan A.

Turut mencuri tumpuan dalam aksi sebentar tadi ialah tiupan trumpet Ultras PSM persis England Band yang sering memberi sokongan kepada skuad bola sepak kebangsaan England diketuai, John Hemmingham.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top