puterialia@hmetro.com.my
Sering dikenali sebagai pelakon aksi, kali ini pelakon, Trisha Ooi mencabar keupayaan lakonannya menerusi naskhah bergenre thriller seram yang berjudul Nar’sata: Sekutu Setan.
Menerusi filem terbitan Metrowealth Pictures arahan Pierre Andre itu, Trisha memegang watak sebagai Balqis iaitu wanita yang memendam dendam akibat fasa kehidupan yang perit.
Trisha atau nama sebenarnya Reyshqa Aqiera Mohd Nasron Ooi, 27, berkata, watak Balqis sangat berbeza dengan karakter yang pernah dibawanya sebelum ini kerana ia menuntut emosi yang sangat gelap.
“Ini kali pertama saya membintangi filem genre seram dan ‘thriller’. Balqis adalah seorang wanita biasa yang hidup susah bersama ayahnya yang dilakonkan Namron.
“Dalam filem ini, Balqis menjadi mangsa keadaan kepada bapanya sendiri yang merupakan penagih dadah, kaki minum dan kaki judi. Dia terpaksa menyelesaikan segala hutang bapa dan menanggung penderitaan terbabit,” katanya ketika sesi fotografi di Balai Berita Bangsar, baru-baru ini.
Menurut Trisha, watak Balqis digarap dengan penuh rasa amarah yang tersimpan lama sehingga mencetuskan titik tolak untuk dia membalas dendam terhadap pelaku yang mengkhianatinya.
“Watak ini memang gelap. Kita akan dapat lihat transisi perasaan Balqis daripada sebelum dia melepaskan dendam sehingga kejadian utama berlaku. Perasaan ‘kenapa aku?’ itu yang menjadi kunci utama tindakannya terhadap pelaku dalam filem ini,” katanya.
Menyedari jangkaan tinggi peminat selepas merangkul trofi Pelakon Wanita Harapan pada Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM 33) 2024, Trisha menyifatkan filem Nar’sata: Sekutu Setan sebagai medan pembuktian kualiti lakonannya.
“Ini adalah filem pertama lakonan saya yang akan menemui penonton selepas kemenangan di FFM 2024. Naskhah ini sangat signifikan kerana ramai yang bertanya ‘apa langkah seterusnya buat Trisha?’
“Bagi saya, filem ini adalah jawapan untuk membuktikan potensi diri saya sebagai anak seni. Saya mahu melihat sejauh mana fleksibiliti saya dalam menggalas watak berbeza daripada zon selesa sebelum ini.
“Orang kenal saya dengan genre aksi, tetapi kali ini sangat berbeza. Saya mahu orang nampak dan tahu bahawa saya mampu menggalas pelbagai genre, insya-Allah.
“Mungkin ini adalah salah satu usaha dan bukti yang ingin saya tonjolkan kepada industri bahawa saya pelakon serba boleh,” katanya lagi.
Di sebalik imej lasak yang sering ditampilkan, Trisha mendedahkan dia sebenarnya seorang yang penakut, terutama apabila membabitkan perkara berkaitan mistik dan seram.
Namun, demi menjayakan naskhah ini, Trisha mengetepikan perasaan itu meskipun terpaksa berhadapan dengan babak paling mencabar sepanjang kariernya iaitu apabila perlu berada dalam liang lahad.
“Babak itu dilakukan pada jam 3 hingga 4 pagi di sebuah lokasi yang disediakan persis liang lahad sebenar sedalam tujuh kaki. Saya perlu berada dalam liang lahad itu sendirian dalam keadaan hujan lebat.
“Ketika itu, semua kru berada jauh daripada saya kerana mahu mengambil ‘wide shot’ (shot luas) dari arah atas. Bayangkan dalam keadaan gelap dan sunyi, memang sangat mencabar buat saya yang sebenarnya penakut dengan hantu,” kongsinya.
Menurut pelakon filem Wira ini dia bersifat berani untuk menjayakan babak sebegitu kerana wujudnya sokongan dan kasih sayang daripada semua kru dan pelakon di set penggambaran itu.
“Bagi saya, kita selalu mahukan sesuatu yang berbeza dalam industri perfileman dan saya rasa menerusi Nar’sata, penonton akan dapat merasai kelainan itu.
“Walaupun saya takut, tetapi demi kualiti dan tunjuk ajar Abang Pierre (Pierre Andre), saya sahut cabaran terbabit,” kongsinya yang menjalani penggambaran filem itu selama kira-kira 30 hari.
Meskipun terselamat daripada gangguan secara fizikal, Trisha mengakui ketakutannya terhadap makhluk halus sering kali membuatkan dia ‘terseksa’ dengan imaginasi sendiri sepanjang melakukan penggambaran filem terbabit.
“Fasa pertama di rumah banglo masih boleh diuruskan, tetapi apabila masuk dalam hutan, perasaan itu berbeza. Kadang-kadang bukan kita nampak secara nyata, tetapi imaginasi sendiri yang membuatkan kita terbayang-bayang.
“Disebabkan kami menjalani penggambaran dari malam hingga pagi, waktu hendak balik ke hotel untuk tidur itu yang paling mencabar.
“Saya akan teringat-ingat babak yang dilakukan dan rasa susah sangat hendak lelapkan mata, sedangkan nanti perlu masuk ke set (penggambaran) semula,” katanya.
Bagaimanapun, Trisha bersyukur kerana suasana kerja yang harmoni dan akrab bersama kru serta rakan pelakon lain banyak membantunya mengawal perasaan takut.
“Kami seperti satu keluarga besar yang saling menjaga dan selalu gelak ketawa. Persekitaran itu yang membuatkan saya rasa lebih berani.
“Tipu kalau cakap tidak terbayang-bayang, tetapi Alhamdulillah saya tidak mengalami gangguan sepanjang berada di set penggambaran,” kongsinya.
Menurut pelakon drama Risik Pada Hati ini, filem Nar’sata: Sekutu Setan yang mendapat klasifikasi 18 tahun ke atas bakal memberikan kepuasan maksimum buat pencinta filem ‘thriller’ seram di negara ini.
“Filem ini bukan sekadar naskhah seram biasa, tetapi ia penuh dendam dan aksi yang mendebarkan.
“Harapan saya, apabila orang menonton filem Nar’sata ini, mereka akan mendapat apa yang sepatutnya mereka peroleh berdasarkan genre yang ditawarkan. Saya mahu ia memberikan impak yang bagus kepada industri perfileman Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Trisha turut berharap pembabitannya dalam filem terbaharunya ini dapat membuka mata penerbit dan pengarah untuk melihat sisi bakatnya yang lebih versatil.
“Saya harap penonton dan produksi di luar sana dapat melihat bahawa saya mampu membawakan karakter yang lebih mendalam dan berat berbanding watak yang sering saya lakonkan sebelum ini.
“Saya seru kepada semua peminat filem tempatan untuk memberikan sokongan padu. Jika kita sendiri tidak menyokong filem kita, siapa lagi yang akan melakukannya?” katanya lagi.
Bakal menemui penonton tidak lama lagi filem Nar’sata: Sekutu Setan turut dibintangi pelakon hebat seperti Mawar Rashid, Khenobu, Fadlan Hazim, Da’i Fuad, Aniq Suhair dan Imranul Effendy.
© New Straits Times Press (M) Bhd






