Trump 'bergaduh' dengan bank pusat AS

Trump 'bergaduh' dengan bank pusat AS


Washington: Rasa tidak puas hati Donald Trump terhadap Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) memuncak sepanjang minggu ini dengan presiden itu mengancam untuk mengambil langkah yang belum pernah berlaku sebelum ini iaitu memecat ketua bank pusat itu.

Trump berulang kali menyatakan keinginannya untuk pemotongan kadar semasa untuk membantu merangsang pertumbuhan ekonomi ketika beliau melancarkan rancangan tarifnya.

Beliau juga mengancam untuk memecat Pengerusi Rizab Persekutuan Jerome Powell jika ingkar, dengan meletakkan bank dan Rumah Putih dalam laluan pertembungan yang dikhabarkan oleh penganalisis boleh menjejaskan kestabilan pasaran kewangan AS.

“Jika saya mahu dia keluar, dia akan keluar dari sana dengan cepat, percayalah,” kata Trump pada Khamis, merujuk kepada Powell.

Powell berkata, beliau tidak bercadang untuk berundur awal dan menganggap kebebasan bank itu terhadap dasar monetari sebagai perkara undang-undang.

“Jelas sekali, hakikat bahawa pengerusi Fed (Rizab Persekutuan) merasakan beliau perlu menanganinya bermakna mereka serius,” kata ketua ekonomi KPMG Diane Swonk kepada AFP, merujuk kepada Rumah Putih.

Ketua Ekonomi di Wolfe Research, Stephanie Roth berkata. beliau tidak menyangka Rizab Persekutuan akan tunduk kepada tekanan politik.

Kebanyakan ahli ekonomi bersetuju bahawa pelan tarif akan menyebabkan kenaikan harga dan memperlahankan pertumbuhan ekonomi sekurang-kurangnya dalam jangka pendek.

Ia akan mengekalkan inflasi jauh daripada sasaran jangka panjang Rizab Persekutuan iaitu sebanyak dua peratus, dan berkemungkinan menghalang penggubal dasar daripada mengurangkan kadar dalam beberapa bulan akan datang.

Ramai sarjana undang-undang berkata, presiden AS tidak mempunyai kuasa untuk memecat pengerusi Rizab Persekutuan, atau mana-mana rakan sekerjanya dalam jawatankuasa penetapan kadar dianggotai 19 orang, bank itu atas sebarang sebab.

Sistem Rizab Persekutuan yang diwujudkan lebih seabad lalu, direka untuk melindungi bank pusat AS daripada campur tangan politik.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top