Trump (dua,kiri) ketika hadir menyaksikan perlawanan akhir tenis Terbuka AS. FOTO: AFP
DONALD Trump menerima ejekan daripada peminat tenis ketika menghadiri Terbuka Amerika Syarikat (AS) selepas perlawanan tersebut terpaksa dilewatkan berikutan pemeriksaan keselamatan yang diperketatkan.
Siaran televisyen ABC menunjukkan Trump keluar dari ruang tempat duduk khas dan melambaikan tangan kepada penonton yang masih belum memenuhi stadium, namun audio sorakan tidak disiarkan.
Bagaimanapun, siaran ESPN kemudiannya memaparkan sorakan bercampur ejekan ketika Trump sekali lagi muncul sebelum perlawanan bermula.
Rakaman di media sosial turut memperlihatkan penonton bersorak kuat mengejek apabila kelibat Presiden AS itu terpampang di skrin gergasi.
Penonton terpaksa beratur panjang dan ada yang menunggu lebih sejam, di luar Stadium Arthur Ashe di Queens iaitu venue tenis terbesar dunia dengan kapasiti hampir 24,000 orang.
Ia susulan kehadiran Trump ke perlawanan tersebut yang menyebabkan keselamatan tambahan dilakukan sebelum aksi bermula.
Ejen Perkhidmatan Rahsia AS bersama pegawai keselamatan persekutuan memeriksa beg dan mengarahkan penonton melalui pengesan logam.
Malah, sebahagian penonton yang masih terkandas di luar stadium mengejek apabila aksi di antara Carlos Alcaraz dan Jannik Sinner dimulakan.
Ada juga penyokong menyalahkan Trump atas kelewatan itu.
Seorang lelaki dikenali sebagai Kevin dari Brooklyn yang bekerja di sebuah firma ekuiti swasta memberitahu Reuters, dia menunggu lebih sejam 15 minit namun masih belum berjaya memasuki stadium.
“Seratus peratus salah dia. Sangat mementingkan diri. Saya menjangkakan seseorang seperti dia ada lebih sedikit budi bicara untuk sedar bahawa acara besar seperti ini akan tertangguh hanya kerana kehadirannya, apatah lagi di sebuah bandar yang membencinya,” katanya.
Jurucakap Perkhidmatan Rahsia dalam kenyataan berkata: “Kami sedar kawalan keselamatan tambahan sempena lawatan Presiden ke Terbuka AS mungkin menyumbang kepada kelewatan. Kami berterima kasih kepada semua penonton atas kesabaran dan kefahaman mereka,” katanya.
Persatuan Tenis Amerika Syarikat (USTA) dilaporkan turut meminta stesen penyiaran supaya tidak menyiarkan reaksi terhadap Trump sepanjang kejohanan.
Jurucakap USTA memberitahu Reuters, pihaknya secara rutin meminta penyiar untuk ‘mengelakkan paparan gangguan di luar gelanggang’.