Trump janji usaha 'pengusiran jutaan migran' pada hari pertama sebagai presiden

Trump janji usaha 'pengusiran jutaan migran' pada hari pertama sebagai presiden


Washington: Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS) Donald Trump merancang untuk melancarkan usaha mengusir jutaan pendatang haram dan mengenakan tarif ke atas negara asing yang menjalankan perniagaan dengan negara itu.

Beliau juga akan memberi pengampunan kepada beberapa individu yang disabitkan kesalahan dalam insiden pencerobohan bangunan Capitol AS pada 6 Januari 2021.

Trump membuat kenyataan itu ketika menggariskan agendanya dalam temu bual dengan Kristen Welker menerusi rancangan NBC News “Meet the Press”, menurut laporan United Press International (UPI).

Trump turut berkata. beliau akan berusaha untuk melanjutkan pemotongan cukai yang diluluskan semasa pentadbiran pertamanya, tidak menaikkan umur kelayakan bagi Medicare atau Medicaid dan mencari cara untuk mengurangkan perbelanjaan persekutuan.

Beliau juga menyatakan tidak akan mengenakan sekatan terhadap pil pengguguran dan kekal dengan pendirian bahawa isu pengguguran perlu ditentukan oleh setiap negeri.

Sebagai tambahan kepada usaha pengusiran, beliau bercadang untuk menamatkan hak kewarganegaraan secara automatik yang diperuntukkan dalam Pindaan Ke-14 Perlembagaan Amerika Syarikat, khususnya kepada individu yang dilahirkan di negara itu oleh ibu bapa tanpa dokumen yang sah.

Mengenai pengusiran, Trump berkata: “Kami mulakan dengan penjenayah, dan kami perlu melakukannya. Selepas itu kita akan beralih kepada yang lain dan melihat bagaimana keadaannya.”

Dianggarkan terdapat empat juta keluarga di Amerika Syarikat yang mempunyai status imigresen bercampur.

Trump menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan Demokrat bagi memastikan golongan Dreamers, pendatang haram yang memasuki Amerika Syarikat semasa kanak-kanak hampir 20 tahun atau lebih akan dapat terus tinggal di negara itu.

“Kita perlu melakukan sesuatu untuk golongan Dreamers, kerana mereka dibawa ke sini pada usia yang sangat muda. Ramai di antara mereka kini adalah orang pertengahan umur, dan tidak lagi bercakap dalam bahasa negara asal mereka,” kata Trump.

Merujuk kepada usahanya untuk mengampuni perusuh dalam insiden 6 Januari, Trump berkata ramai daripada mereka mengalami layanan yang terlalu keras di penjara dan pengampunan itu akan dilaksanakan pada hari pertamanya sebagai presiden.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top