Trump kembali curi tumpuan di final Piala Dunia

Trump kembali curi tumpuan di final Piala Dunia


New York: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekali lagi menjadi tumpuan pada final Piala Dunia, Isnin ini apabila hadir menyaksikan pertembungan Argentina dan Sepanyol di Stadium New York New Jersey.

Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino berkata, Trump akan duduk bersamanya sepanjang perlawanan sebelum menyampaikan trofi kepada juara, sama seperti yang dilakukan pada final Piala Dunia Kelab tahun lalu.

Kehadiran Trump hadir hanya beberapa hari selepas beliau mengesahkan meminta Infantino menilai semula kad merah yang dilayangkan kepada penyerang AS, Folarin Balogun, sekali gus mencetuskan kontroversi besar mengenai keadilan dan mutu pengadilan sepanjang kejohanan.

Infantino dan Trump saling memuji ketika menghadiri majlis di Trump Tower, Manhattan, semalam, lokasi FIFA membuka pejabat baharunya tahun lalu susulan kejayaan edisi Piala Dunia kali ini yang mencatat kehadiran penonton tertinggi dalam sejarah.

“Piala Dunia ini tidak akan mencapai kejayaan sebegini tanpa anda,” kata Infantino di hadapan kira-kira 300 tetamu yang turut dihadiri legenda Brazil, Ronaldo, pegawai FIFA serta beberapa kenamaan lain.

Trump pula berkata, kejayaan kejohanan itu membuktikan AS kini sudah menjadi sebuah negara bola sepak.

“Rupa-rupanya kami memang sebuah negara bola sepak,” katanya yang beberapa kali menerima kunjungan Infantino di Pejabat Oval, Rumah Putih.

Kedua-dua mereka kekal mempertahankan hubungan rapat sepanjang beberapa kontroversi sebelum dan ketika kejohanan yang turut dianjurkan bersama Kanada dan Mexico.

FIFA sebelum ini menegaskan Trump tidak memainkan sebarang peranan dalam keputusan menggantung hukuman kad merah Balogun.

Setahun sebelum Piala Dunia bermula, beberapa bandar di AS berdepan persoalan mengenai jaminan keselamatan dan kemasukan penyokong antarabangsa susulan tindakan pentadbiran Trump memperketat dasar imigresen serta mengenakan larangan perjalanan terhadap beberapa negara.

Beberapa bulan kemudian, Trump turut mengugut untuk memindahkan perlawanan dari bandar yang ditadbir Parti Demokrat, namun FIFA menegaskan keputusan itu bukan di bawah bidang kuasa beliau.

Dalam ucapannya semalam, Trump turut membayangkan hasrat AS menjadi tuan rumah Piala Dunia sekali lagi pada edisi 2038.

“Namun kali ini, kita tinggalkan sahaja Mexico dan Kanada,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top