WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengesahkan akan meneruskan ancamannya untuk mengenakan tarif sempadan sebanyak 25 peratus ke atas import dari Kanada dan Mexico mulai esok.
Bagaimanapun, beliau masih belum membuat keputusan sama ada langkah itu akan turut melibatkan import minyak dari kedua-dua negara jiran tersebut.
Bercakap kepada wartawan di Pejabat Oval, Trump menegaskan tindakan itu bertujuan menangani isu kemasukan pendatang tanpa dokumen serta penyeludupan fentanyl yang berlaku di sempadan AS, selain mengurangkan defisit perdagangan dengan kedua-dua negara berkenaan.
Dalam pada itu, beliau turut membayangkan perancangan untuk mengenakan tarif baharu ke atas China sebanyak 10 peratus, namun tidak memperincikan sebarang butiran mengenai pelaksanaannya.
“China juga akan dikenakan tarif kerana mereka menghantar fentanyl ke negara kita dan akibatnya, ratusan ribu rakyat kita terkorban,” katanya.
Ketika kempen pilihan raya sebelum ini, Trump pernah mengancam untuk mengenakan tarif sehingga 60 peratus ke atas barangan buatan China bagaimanapun, pada hari pertama beliau kembali ke Rumah Putih, beliau hanya mengarahkan pentadbirannya untuk mengkaji isu tersebut terlebih dahulu.
Sementara itu, Kanada dan Mexico memberi amaran mereka akan mengambil langkah balas terhadap tindakan AS, selain memberi jaminan kepada Washington bahawa mereka sedang berusaha menangani kebimbangan berkaitan sempadan negara masing-masing.
Sekiranya import minyak dari Kanada dan Mexico turut dikenakan tarif, ia dikhuatiri akan menjejaskan janji Trump untuk menurunkan kos sara hidup rakyat AS.
Ini kerana cukai ke atas tenaga yang diimport berkemungkinan akan dipindahkan kepada perniagaan dan pengguna, sekali gus meningkatkan harga barang keperluan seperti petrol dan makanan.
Kira-kira 40 peratus minyak mentah yang diproses di kilang penapisan AS adalah minyak import, dengan sebahagian besarnya datang dari Kanada. -AGENSI