Teheran: Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, pada Khamis menuduh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, melebih-lebihkan kesan serangan udara AS ke atas tapak nuklear Iran, dalam kemunculan pertamanya sejak gencatan senjata dengan Israel dikuatkuasakan.
Dalam ucapan yang disiarkan di televisyen, Khamenei menyifatkan apa yang berlaku sebagai kemenangan Iran terhadap Israel, berikrar untuk tidak tunduk kepada tekanan AS dan menegaskan bahawa Washington telah menerima tamparan yang memalukan.
“Presiden Amerika melebih-lebihkan kejadian dengan cara yang luar biasa, dan ternyata dia memerlukan keterlaluan itu,” kata Khamenei, sambil menolak dakwaan AS bahawa program nuklear Iran terbantut selama beberapa dekad akibat serangan tersebut.
Beliau menegaskan bahawa serangan itu tidak memberi kesan besar terhadap infrastruktur nuklear Iran.
Namun Trump tetap mempertahankan bahawa serangan AS itu amat merosakkan.
Presiden AS itu mendakwa kemudahan utama, termasuk tapak pengayaan uranium bawah tanah di Fordo, dimusnahkan oleh pengebom B-2 Amerika.
Dalam kenyataan di platform Truth Social, Trump menolak spekulasi bahawa Iran mungkin telah mengalihkan uranium terkaya sebelum serangan, sambil berkata:
“Tiada apa yang dibawa keluar… terlalu berbahaya, terlalu berat dan sukar untuk dipindahkan!”
Tambahnya, imej satelit menunjukkan lori di tapak tersebut hanya kerana krew Iran cuba melindungi kemudahan itu dengan konkrit.
Khamenei menolak dakwaan itu dan berkata:
“Republik Islam telah menang, dan sebagai tindak balas, memberikan tamparan hebat kepada wajah Amerika.”
Kenyataan beliau hadir selepas tamatnya perang selama 12 hari antara Iran dan Israel, yang paling berdarah antara kedua-dua negara setakat ini.
Kedua-dua pihak mendakwa menang:
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menyifatkannya sebagai “kemenangan bersejarah”, manakala Khamenei berkata serangan peluru berpandu Iran membawa Israel ke ambang kehancuran.
Di Washington, kesan sebenar serangan AS telah mencetuskan perdebatan sengit dalam kalangan pemimpin politik dan perisikan.
Satu penilaian sulit yang bocor menunjukkan bahawa kerosakan terhadap program nuklear Iran mungkin kurang teruk daripada yang didakwa, dan hanya menangguhkan kemajuan Iran selama beberapa bulan.
Penilaian ini bertentangan dengan kenyataan pegawai kanan AS iaitu Pengarah CIA John Ratcliffe berkata beberapa kemudahan perlu dibina semula dalam tempoh bertahun-tahun.
Ketua Pentagon, Pete Hegseth, menuduh media memutarbelitkan operasi. Katanya, AS menggunakan bom penembus GBU-57 ke atas Fordo dan satu lagi tapak bawah tanah, manakala peluru berpandu Tomahawk dari kapal selam menyerang kemudahan ketiga.
“Presiden Trump mencipta keadaan untuk menamatkan perang, dengan memusnahkan, pilih apa saja perkataan menumpaskan, menghancurkan keupayaan nuklear Iran,” kata Hegseth.
Namun masih terdapat keraguan sama ada Iran telah memindahkan secara diam-diam 400 kilogram uranium diperkaya dari tapak-tapak paling sensitif sebelum serangan berlaku mungkin disembunyikan di lokasi lain dalam negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd