Trump mengaku gelar Netanyahu 'gila'

Trump mengaku gelar Netanyahu 'gila'


Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengakui beliau menggelar Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebagai ‘gila’ dalam perbualan telefon berhubung pertempuran di Lubnan. Hubungan tegang ini berlaku ketika AS sedang berusaha merundingkan penamatan konflik bersama Iran.

Dalam satu temu bual yang disiarkan pada Rabu, Trump ditanya sama ada beliau ada mengeluarkan kata-kata makian dan menuduh pemimpin Israel itu tidak mengenang budi, memetik laporan yang dikeluarkan oleh portal Axios.

“Ya, saya ada sebut begitu,” kata Trump dalam program audio siar ‘Pod Force One’.

“Saya tidak mahu katakan saya marah. Cuma saya agak rimas dengan tindakannya yang terus-menerus bertempur dengan Lubnan.”

Bagaimanapun, Trump menambah bahawa hubungan beliau dan Netanyahu masih berada dalam keadaan yang sangat baik.

Mengikut laporan Axios yang memetik sumber rasmi AS yang enggan dikenali, Trump dilaporkan berkata kepada Netanyahu dalam panggilan telefon pada Isnin: “Kamu memang gila. Kamu sudah lama meringkuk dalam penjara jika bukan disebabkan saya. Saya yang menyelamatkan kamu. Semua orang membenci kamu sekarang. Semua orang membenci Israel disebabkan perkara ini.”

Semasa temu bual, Trump menjelaskan: “Pada satu ketika, saya berkata, Bibi, kita perlu hentikan perkara ini. Kita mesti hentikannya.”

Netanyahu, apabila ditanya mengenai laporan Axios, enggan mengulas lanjut butiran perbualan mereka tetapi menegaskan hubungan beliau dengan Trump tidak berubah.

“Kami mempunyai matlamat yang sama. Kadang-kadang, seperti yang berlaku dalam sebuah keluarga yang baik, pasti ada perbezaan pendapat dari segi taktikal,” katanya dalam temu bual bersama CNBC pada Rabu.

“Beliau merupakan rakan paling hebat yang pernah dimiliki Israel di Rumah Putih. Beliau menghormati saya dan saya menghormati beliau. Kami sentiasa menemui jalan penyelesaian bagi setiap perbezaan pendapat.”

Iran menyatakan pendirian tidak akan bersetuju dengan perjanjian bersama AS untuk menamatkan perang yang dilancarkan oleh Trump dan Netanyahu pada akhir Februari lalu, melainkan gencatan senjata turut merangkumi wilayah Lubnan.

Israel menceroboh Lubnan pada Mac bagi memburu Hizbullah yang bersekutu dengan Iran. Kumpulan itu sebelum ini melancarkan serangan merentasi sempadan bagi menyokong Tehran.

Pertempuran terus berlaku biarpun perjanjian tajaan AS diumumkan pada Isnin. Perjanjian itu sepatutnya menyaksikan Israel berundur daripada menyerang kawasan pinggir bandar selatan Beirut yang dikuasai Hizbullah, manakala kumpulan tajaan Iran itu pula menghentikan serangan rentas sempadan.

Trump kelihatan berang apabila ditanya sama ada Netanyahu memperdayakan beliau untuk menyerang Iran, lalu menyifatkan pengkritik beliau sebagai musuh.

“Maksud saya, sayalah individu yang memulakannya,” kata Trump. “Saya memulakannya kerana kita tidak boleh membiarkan mereka memiliki senjata nuklear.”

“Perkara ini ada kaitan dengan Israel, kerana mereka mungkin menjadi sasaran pertama yang akan dibom. Israel tidak akan wujud lagi. Saya beritahu kamu, jika bukan kerana saya, Israel tidak akan ada lagi pada masa sekarang.”

Trump mempertahankan pendirian bahawa Israel akan berada dalam situasi yang jauh lebih buruk jika beliau tidak keluar daripada perjanjian 2015 yang dicapai oleh Presiden Barack Obama bersama pemimpin dunia yang lain dengan Iran.

Di bawah perjanjian itu, Tehran bersetuju menyekat program nuklearnya sebagai balasan kepada penarikan balik sekatan ekonomi.

Selepas Trump keluar daripada perjanjian itu semasa penggal pertama beliau di Rumah Putih pada tahun 2018, Iran bertindak menghasilkan simpanan uranium diperkaya tinggi yang hampir mencapai gred senjata nuklear.

Trump kini menuntut Iran menyerahkan simpanan itu.

Pengkritik Trump berpendapat Iran kini semakin hampir untuk menghasilkan senjata nuklear, sekali gus menyukarkan Trump untuk merundingkan perjanjian yang lebih baik.

Sebelum ini, Trump juga pernah menggunakan perkataan kesat terhadap Israel, termasuk menyatakan secara terbuka pada tahun lalu bahawa Israel dan Iran tidak tahu apa yang sedang mereka lakukan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top