New York: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mencadangkan supaya pasukan bola sepak kebangsaan Iran menarik diri daripada Piala Dunia FIFA 2026 sebagai langkah keselamatan.
Trump menulis di platform media sosial miliknya, Truth Social bahawa Iran dialu-alukan untuk beraksi pada kejohanan yang berlangsung di Amerika Syarikat musim panas ini.
Namun menurutnya, kehadiran pasukan itu mungkin tidak sesuai atas faktor keselamatan.
“Mereka dialu-alukan untuk bermain di Amerika Syarikat, tetapi saya tidak fikir ia sesuai mereka berada di sana demi keselamatan dan nyawa mereka sendiri,” tulis Trump.
Ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan Iran dijadual berlangsung di Amerika Syarikat.
Iran memulakan aksi Kumpulan G di Inglewood menentang New Zealand pada 15 Jun sebelum berdepan Belgium pada 21 Jun.
Mereka kemudian dijadual menentang Mesir pada 26 Jun di Seattle.
Amerika Syarikat bersama Israel memulakan serangan terhadap Iran pada 28 Februari menerusi siri serangan udara yang mengorbankan pemimpin tertinggi Iran, Ali Khamenei serta beberapa pegawai lain.
Menteri sukan Iran, Ahmad Donyamali dilapor memberitahu televisyen negara minggu ini bahawa negaranya mungkin tidak dapat menyertai Piala Dunia selepas kematian Khamenei.
Rumah Putih tidak memberikan penjelasan lanjut mengenai isu “keselamatan” yang disebut Trump dalam hantaran itu, yang dilihat bercanggah dengan kenyataannya dalam pertemuan bersama Presiden FIFA, Gianni Infantino sebelum ini.
“Presiden Trump menegaskan bahawa pasukan Iran dialu-alukan untuk bertanding di kejohanan di Amerika Syarikat,” tulis Infantino dalam hantaran di Instagram.
“Kita memerlukan acara seperti Piala Dunia lebih daripada sebelumnya untuk menyatukan manusia. Saya berterima kasih kepada Presiden Amerika Syarikat atas sokongannya kerana bola sepak menyatukan dunia.”
Piala Dunia 48 pasukan, edisi terbesar dalam sejarah kejohanan, dijadual berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
Iran merancang menjalani latihan di Tucson sebelum saingan peringkat kumpulan bermula.
Skuad Iran yang berada di ranking ke-20 dunia layak ke Piala Dunia buat kali keempat berturut-turut pada Mac tahun lalu sebagai antara pasukan terbaik dalam Konfederasi Bolasepak Asian.
© New Straits Times Press (M) Bhd






