KEMENANGAN bergaya 4-0 ke atas Machan FC dalam aksi Liga A1 Semi-Pro di Stadium Sultan Muhammad IV menghidupkan semula semangat juang Kelantan Red Warrior FC (TRW).
Ketua Jurulatih TRW, Irfan Bakti Abu Salim menyifatkan kemenangan itu sebagai titik kebangkitan pasukan selepas beberapa perlawanan sebelum ini gagal disudahkan dengan jaringan walaupun memiliki banyak peluang.
“Kalau kami main tidak bagus semasa seri atau kalah sebelum ini tak apalah, tapi ini masalahnya kami main elok, peluang ada, cuma tak boleh jaringkan gol.
“Alhamdulillah malam tadi pemain bangkit dan akhirnya hasilkan empat gol,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan pada Jumaat.
Menurut beliau, walaupun TRW beraksi dengan kelebihan seorang pemain selepas pemain lawan dilayangkan kad merah pada minit ke-41, kemenangan besar itu bukan kerana faktor jumlah pemain, sebaliknya hasil kesungguhan dan disiplin ditunjukkan anak buah beliau pada separuh masa kedua.
“Masa rehat saya pesan pada pemain jangan emosional dan jangan terpengaruh dengan provokasi lawan.
“Fokus pada permainan, jangan hilang ketenangan. Lepas tu, dua gol awal jadi titik perubahan dan keyakinan mereka kembali,” ujarnya.
Irfan Bakti mengakui aspek penyudah di hadapan gol menjadi antara kelemahan utama TRW sebelum ini, namun kemenangan terbaharu itu menunjukkan peningkatan ketara dalam ketajaman serangan dan kawalan permainan.
“Sebelum ini depan gol mereka tak tenang, tapi kali ini kita nampak perubahan dari Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali, Emmanuel Mbarga dan Mohd Faiz Mohd Nasir tunjukkan keyakinan tinggi.
“Ini perkembangan yang baik untuk perlawanan akan datang,” katanya.
Jurulatih berpengalaman itu juga menegaskan pasukannya tidak boleh leka menjelang pertemuan dengan Perlis FC pada Sabtu depan, sebaliknya perlu meneruskan momentum kemenangan itu dalam usaha memperbaiki kedudukan liga selepas kini mengumpul tujuh mata hasil satu kemenangan, empat seri dan dua kekalahan.
“Kita tak boleh ambil mudah lawan selepas ini. Perlis bukan pasukan lemah, mereka semakin tersusun dan kuat berbanding musim lalu.
“Jadi saya pesan kepada pemain, jangan pandang rendah pada mana-mana pasukan,” katanya lagi.
Ringkasan AI
- Kemenangan bergaya 4-0 ke atas Machan FC meningkatkan semangat Kelantan Red Warrior FC
- Ketua Jurulatih Irfan Bakti Abu Salim menyifatkan kemenangan sebagai titik kebangkitan pasukan
- Kemenangan bukan kerana faktor jumlah pemain tetapi disiplin dan kesungguhan pemain
- Aspek penyudah di hadapan gol menunjukkan peningkatan ketara
- Pasukan diingatkan tidak boleh leka menjelang pertemuan dengan Perlis FC