mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pendatang baharu Liga Super, DPMM FC terus buntu memburu kemenangan pertama apabila tewas 1-2 kepada Kelantan The Real Warriors (TRW) pada aksi di Stadium Sultan Hassanal Bolkiah, sebentar tadi.
Kekalahan itu menyaksikan skuad bimbingan James Mcallister menelan kekalahan ketiga berturut-turut dalam saingan Liga Super sekali gus kekal di tangga tercorot dengan hanya mengutip satu mata setakat ini.
Dalam aksi berkenaan, pelawat terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi penyerang import, Ifedayo Olusegun pada minit ke-36 bagi meletakkan TRW di depan 1-0.
Skuad kendalian Kelantan terus menambah derita tuan rumah lima minit kemudian apabila Nor Azam Azih menyempurnakan peluang untuk melebarkan kelebihan dua gol menuju ke bilik persalinan.
Tersentak dengan dua jaringan itu, DPMM FC cuba bangkit pada babak kedua dan usaha mereka berhasil apabila Jordan de Paula Rodrigues merapatkan jurang dengan gol pada minit ke-52.
Bagaimanapun, kedudukan 1-2 kekal sehingga wisel penamat sekali gus menghadiahkan TRW kemenangan kedua dalam kempen Liga Super musim ini.
Selepas ini, DPMM FC akan berkunjung ke gelanggang Melaka FC bagi meneruskan misi memburu kemenangan sulung manakala TRW bakal berdepan cabaran Terengganu FC (TFC) dalam aksi ‘Derbi Pantai Timur’.
© New Straits Times Press (M) Bhd