Tuah tidak memihak Sze Fei-Nur Izzuddin

Tuah tidak memihak Sze Fei-Nur Izzuddin


LEGENDA badminton negara, Datuk Razif Sidek tidak melihat gandingan beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani sedang berdepan masalah prestasi selepas terkandas di peringkat suku akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC) pada Jumaat.

Sebaliknya beliau menyifatkan tuah tidak menyebelahi Sze Fei-Nur Izzuddin walaupun sudah menampilkan persembahan terbaik menentang gandingan tuan rumah, Chen Bo Yang-Liu Yi.

“Bagi saya persembahan mereka semalam cuma tidak bertuah saja kerana mereka kalah pun dengan mata yang tidak jauh beza. Mereka telah memberikan sehabis mungkin.

“Persembahan mereka pun lebih baik daripada beberapa pertandingan terakhir sebelum ini. Cumanya mereka perlu tambah baik dari segi kecergasan fizikal dan kurangkan buat kesilapan,” katanya kepada Sukan Sinar.

Selepas menjuarai Terbuka India pada Januari lalu, persembahan Sze Fei-Nur Izzuddin menunjukkan penurunan apabila terkandas di pusingan kedua Seluruh England pada Mac dan ditewaskan seawal pusingan pertama di Terbuka Switzerland.

Gandingan di ranking kedua dunia itu tampil dengan semangat melawan pada aksi suku akhir di BAC ketika menentang Bo Yang-Liu Yi yang berakhir dengan kekalahan 16-21, 21-18, 20-22 di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik Ningbo, China.

Kekalahan itu juga menyaksikan Sze Fei-Nur Izzuddin tidak berjaya untuk mengulangi pencapaian mara ke final Kejohanan tersebut seperti yang mereka lakukan tahun lalu.

Dalam pada itu, Razif turut berpesan kepada Sze Fei-Nur Izzuddin untuk memperkuatkan mental dan menjadi lumrah apabila berada di ranking lebih tinggi, ramai pemain yang mahu mengalahkan mereka.

“Sebagai pasangan di kedudukan ranking tinggi, akan ada rasa tergugat dengan pemain lain terutama dari China yang mahu mengalahkan mereka.

“Jadi, mereka perlu mengatasi perkara tersebut dan saya yakin Sze Fei-Nur Izzuddin ada cara terbaik untuk menampilkan persembahan lebih berkesan pada pertandingan akan datang,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top