rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir didakwa ‘melarikan diri’ menyebabkan usahawan terkenal, Aliff Syukri terpaksa membuat hantaran di akaun media sosialnya berhubung hutang puluhan juta ringgit.
Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, turut diberitahu Aliff Syukri atau nama sebenarnya Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman, 38, bahawa tindakan itu diambil selepas usahanya menghubungi Abdul Kadir selama berbulan dan bertahun gagal, malah nombor telefonnya turut disekat.
“Cuba baca (sambil menunjukkan tangkap layar WhatsApp yang dilampirkan kepada mahkamah). Saya mohon sangat Tan Sri (Abdul Kadir), tolonglah saya, angkatlah telefon saya, WhatsApp saya itu tidak dibalas.
“Bukan sehari tuan (peguam), tuan tak keluarkan modal RM30 juta tuan boleh cakap macam ini (merujuk soalan kenapa kata Abdul Kadir lari). Saya bukanlah ahli politik, saya cuma berniaga. Kalau dia tak lari, takkanlah saya muat naik gambar tahu tak pak cik ini pergi mana?
“Kalau dia tidak lari, saya tidak akan sampai ke sini (kes mahkamah),” jawabnya pada sesi soal balas peguam, Ravichandaran Selliah yang mewakili plaintif di sini, hari ini.
Dalam prosiding di hadapan Hakim Roslan Mat Nor, Aliff Syukri selaku defendan memberitahu menyerahkan wang berjumlah RM30 juta sebagai pelaburan kepada syarikat Buckingham ByThe-Sea Sdn Bhd (BBTS) di bawah Syarikat Pembangunan Utara Sdn Bhd (PUSB) yang dimiliki Abdul Kadir selepas menandatangani perjanjian usahasama.
Katanya, beliau bersetuju untuk melabur kerana plaintif menjanjikan pulangan selain jaminan keselamatan pelaburan itu meskipun projek BBTS tidak dapat dilaksanakan atau muflis.
“Beliau datang meminta dan beriya-iya mempengaruhi saya dengan janji manis supaya menyertai pelaburan usahasama dengan pihaknya. Beliau juga mendesak-desak saya supaya menyegerakan pengeluaran wang dan kemudian memberikan wang kepadanya,” katanya.
Selain itu, defendan memberitahu sudah melaksanakan tanggungjawab untuk mempromosikan sebuah resort di Langkawi seperti mana syarat yang dipersetujui dalam perjanjian berkenaan.
Namun, Aliff Syukri mendakwa tidak menerima bayaran daripada pelaburan dan perkhidmatan yang sudah diberikan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd






