Tuchel kurang gembira persembahan England

Tuchel kurang gembira persembahan England


THOMAS Tuchel memulakan era baharunya sebagai pengendali England dengan kemenangan 2-0 ke atas Albania dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026, pada awal pagi Sabtu.

Dua gol masing-masing dijaringkan oleh Myles Lewis-Skelly, dan kapten, Harry Kane memastikan tiga mata penuh buat England dalam perlawanan di Wembley.

Kejayaan ini menandakan permulaan positif dalam usaha mereka untuk melayakkan diri ke Piala Dunia yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada, dan Mexico.

Sejak mengambil alih tugas daripada Gareth Southgate pada Januari lalu, Tuchel berjanji untuk memperkenalkan corak permainan England yang lebih bertenaga.

Namun, aksi pasukan itu tidak seperti yang diharapkan dan Tuchel turut mahu para pemainnya menunjukkan persembahan lebih baik pada perlawanan akan datang.

“Kami boleh beraksi lebih baik dan perlu membuktikannya. Kami memulakan perlawanan dengan baik, memiliki bola hampir 100 peratus dalam tujuh hingga lapan minit pertama dengan hantaran dan penguasaan tinggi.

“Separuh masa kedua, saya merasakan permainan kami terlalu perlahan dan kurang pergerakan tanpa bola untuk menembusi benteng lawan,” katanya.

Jurulatih berusia 51 tahun itu turut mengakui bahawa mengendalikan England di Wembley merupakan satu pengalaman baharu.

Dalam pada itu, Lewis-Skelly, yang berusia 18 tahun dan 176 hari, mencipta sejarah sebagai pemain termuda yang menjaringkan gol dalam penampilan pertamanya bersama England.

Pemain remaja Arsenal itu menyempurnakan hantaran cantik daripada Jude Bellingham dengan tenang, melepaskan bola menerusi celahan kaki penjaga gol Albania, Thomas Strakosha, pada minit ke-20.

“Saya benar-benar kehilangan kata-kata. Saya sangat bersyukur kepada pengurus kerana memberi kepercayaan kepada saya,” kata Lewis-Skelly.

England terus mengukuhkan kedudukan dengan jaringan kedua yang hadir pada minit ke-77. Kane membuktikan kualitinya apabila menyambut hantaran lintang Declan Rice dengan kawalan kemas sebelum menyudahkan peluang itu dengan rembatan ke penjuru gawang.

Kemenangan ini memberi permulaan yang baik buat Tuchel dan pasukannya, namun dia sedar masih banyak aspek yang perlu diperbaiki menjelang perlawanan seterusnya dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2026.



Source link

OR

Scroll to Top