Pihak pengurusan Stars Powerhouse Entertainment menegaskan bahawa dakwaan yang mengaitkan aktres naungan mereka, Alya Iman sebagai punca perceraian pasangan selebriti adalah tidak benar.
Menerusi satu kenyataan media, tuduhan yang mula tular di media sosial sejak semalam itu disifatkan sebagai palsu, berunsur fitnah dan berpotensi menjejaskan reputasi baik aktres tersebut.
“Stars Powerhouse Entertainment memandang serius penyebaran kenyataan palsu yang mengaitkan artis kami, Alya Iman, dengan isu perceraian pasangan artis yang tular baru-baru ini.
“Tuduhan ini adalah tidak benar, berunsur fitnah dan menjejaskan reputasi,” katanya di Instagram.

Enggan berkompromi dengan perkara itu, pihak pengurusan tersebut nekad untuk mengambil tindakan undang-undang.
“Kami tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terlibat.
“Hentikan penyebaran serta-merta dan turunkan semua kandungan berkaitan di semua platform,” tegasnya.
Semalam, pasangan selebriti, Yusuf Bahrin dan Zizi Kirana disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling.
Susulan itu, pelbagai spekulasi berbangkit dalam kalangan warganet, termasuk kenyataan seorang individu yang memetik nama Alya Iman dan mendakwa aktres itu menjadi punca keretakan rumah tangga yang terbina sejak lima tahun lalu.





