Paris: Nottingham Forest mungkin sedang bergelut untuk kekal dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, tetapi kunjungan ke Porto, Jumaat ini untuk aksi suku akhir pertama Liga Europa memberi peluang kepada penjaring terbanyak, Igor Jesus dan rakan sepasukan untuk melupakan soal penyingkiran sementara mereka memburu gelaran benua pertama dalam tempoh 46 tahun.
Di bawah bimbingan Vitor Pereira, Liga Europa menjadi pentas di mana Forest paling menyerlah musim ini.
Ini jelas dibuktikan oleh Igor Jesus, yang menyertai Forest dari kelab Brazil, Botafogo pada musim panas lalu.
Penyerang berusia 25 tahun itu hanya menjaringkan tiga gol dalam 30 perlawanan Liga Perdana musim ini, tetapi dia benar-benar menyerlah dalam Liga Europa dengan tujuh gol, sekali gus berkongsi kedudukan penjaring terbanyak kejohanan.
“Mencapai final dan memenangi Liga Europa adalah impian yang menjadi kenyataan, lebih-lebih lagi jika menjadi penjaring terbanyak,” kata Jesus kepada laman web UEFA.
Namun, juara Copa Libertadores 2024 itu sedar bahawa lawan suku akhir mereka, Porto, adalah pencabar yang sukar.
“Porto mempunyai pasukan yang hebat. Mereka ada banyak kualiti. Kami juga ada kualiti. Kami tahu ia bukan perlawanan mudah, malah sangat sukar. Tetapi kami bersedia untuk berjuang,” katanya.
Jesus menambah bahawa Forest akan turun ke Estadio do Dragao dengan fokus penuh dan mencari keputusan positif untuk dibawa pulang ke aksi timbal balik minggu depan.
Jika Forest bergelut di tangga ke-16 liga, hanya tiga mata di atas zon penyingkiran, Porto pula berada di puncak liga utama Portugal, Liga Primeira.
Namun, pasukan England itu boleh berbangga kerana menjadi satu-satunya pasukan yang berjaya menewaskan Porto dalam saingan Eropah musim ini, iaitu ketika menang 2-0 di tempat sendiri hasil sepakan penalti Morgan Gibbs-White dan Igor Jesus pada perlawanan ketiga fasa liga.
Sementara itu, satu lagi pasukan Liga Perdana, Aston Villa, menghadapi tugas sukar apabila bertandang ke Bologna, juara Coppa Italia, dalam aksi suku akhir pertama mereka.
Di bawah kendalian Unai Emery, Villa semakin jauh daripada perebutan kejuaraan liga domestik, menjadikan Liga Europa sebagai peluang terbaik untuk meraih trofi musim ini.
Jika ada individu yang mampu membimbing Villa meraih trofi pertama sejak 2001, individu berkenaan adalah Emery, yang sudah memenangi Liga Europa sebanyak empat kali dalam kariernya.
Ketua pasukan Villa, John McGinn berkata, selepas membantu pasukannya mara ke suku akhir dengan kemenangan agregat 3-0 ke atas Lille, mereka kini mahukan lebih banyak kejayaan.
“Kami perlu fokus satu perlawanan demi satu perlawanan dan terus mara,” kata pemain dari Scotland itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd






