KETUA jurulatih Imigresen FC (IFC), Yusri Che Lah mengakui pasukannya bakal berdepan tugas sukar sepanjang bulan Ogos apabila dijadualkan menentang beberapa pasukan gergasi Liga Super termasuk Kuala Lumpur (KL) City FC, Kelantan The Real Warrior (TRW) FC, Terengganu FC dan penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Menurutnya, walaupun Mighty Tigers merupakan pasukan baharu dalam saingan Liga Super musim ini, beliau tetap optimis anak buahnya mampu memberi saingan kompetitif.
“Kami baru masuk minggu ketiga latihan. Ini bukan alasan, tetapi kami perlukan masa untuk membina keserasian, terutama dengan kehadiran pemain import yang baru tiba beberapa hari lalu,” katanya pada malam Rabu.
IFC bakal menerima kunjungan KL City pada Sabtu ini bagi aksi pertama Liga Super sebelum berkunjung ke Kota Bharu bagi menghadapi Kelantan TRW pada 12 Ogos.
Skuad Yusri seterusnya menerima kunjungan Terengganu FC pada 17 Ogos bagi perlawanan pertama pusingan 16 Piala FA sebelum menghadapi JDT di Satdium Batu Kawan untuk aksi ketiga Liga Super pada 27 Ogos.
IFC yang berpangkalan di Kedah menjalani latihan intensif di Padang Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Alor Setar sebagai persiapan menghadapi musim sulung mereka.
Pasukan itu dibarisi gabungan pemain tempatan dari pelbagai negeri serta pemain import dari Myanmar, Iran, Brazil, Venezuela dan Australia.
“Hanya Joao Pedro pernah beraksi di Liga Malaysia. Yang lain masih baru. Elvis dan Amirali ada pengalaman di Liga Indonesia dan Thailand. Selebihnya masih dalam proses penyesuaian,” jelas Yusri.
Beliau turut menyentuh cabaran komunikasi dan adaptasi cuaca yang dihadapi pemain import, termasuk perbezaan waktu dan tahap kecergasan.
“Ada pemain langsung tidak fasih berbahasa Inggeris. Mereka perlukan masa untuk sesuaikan diri dengan cuaca panas di Kedah,” katanya.
Mengulas tentang perlawanan pertama Liga Super menentang KL City, Yusri mengakui lawan mereka memiliki barisan pemain berkualiti seperti Safawi Rasid dan Hidalgo, namun beliau tetap yakin IFC mampu memberi tentangan.
Menurutnya, IFC turut menekankan semangat juang dalam kalangan pemain tempatan agar tidak rasa terpinggir dengan kehadiran pemain import.
“Kami pasukan baharu, tapi ramai pemain tempatan kami sudah biasa dengan suasana Liga Super. Saya harap mereka dapat berikan yang terbaik.
“Kalau pemain tempatan bagus, mereka akan kekal dalam kesebelasan utama. Saya mahu mereka beri saingan kepada pemain import,” jelasnya.
Beliau turut berkongsi pengalaman melatih pasukan Perak selama tujuh bulan tanpa menerima gaji penuh, namun tetap berjaya membentuk pemain berkualiti.
“Saya percaya jiwa pemain tidak boleh dibeli dengan wang, tetapi dengan kepercayaan dan rasa hormat. Kalau kami tak menang piala, biarlah kami tinggalkan pedoman kepada pemain bahawa bola sepak akan meninggalkan kita, tetapi kehidupan akan terus berjalan,” ujarnya.