Tujuan kami masih sama – Cools

Tujuan kami masih sama – Cools


Cools menegaskan mentaliti rakan sepasukannya berada pada tahap terbaik untuk meneruskan momentum kemenangan dalam Kumpulan F. Foto Malaysia NT

KAPTEN Harimau Malaya, Dion Cools menegaskan skuad kebangsaan kini berada di landasan tepat menjelang perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal di Stadium Nasional Bukit Jalil, 18 November ini.

Menurut Cools, walaupun kem latihan kali ini menampilkan beberapa muka baharu, kekuatan pasukan tidak terjejas dan matlamat mereka kekal jelas iaiu meneruskan momentum kemenangan.

“Fokus kami tetap sama, iaitu layak ke Piala Asia. Kami sudah melakukan kerja yang baik setakat ini dan mahu teruskan momentum itu.

“Saya yakin pasukan mempunyai kualiti mencukupi untuk bersaing dengan mana-mana pasukan Asia.

“Kami hanya perlu terus bekerja keras dan pastikan tugasan kami selesai iaitu menang,” katanya.

Beliau turut menjelaskan skuad negara langsung tidak terjejas dengan isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan yang melanda pasukan kebangsaan sebelum ini.

Dalam pada itu, Cools berkata, mereka sudah meneliti corak permainan Nepal namun lebih memilih untuk memberi tumpuan kepada gaya permainan sendiri bagi mencari peluang memanfaatkan kelemahan lawan.

Pasukan di ranking ke-180 dunia itu dijangka tampil dengan pendekatan taktikal baharu di bawah pengendali baru, Hari Khadka yang mengambil alih selepas peletakan jawatan Matt Ross pada 31 Oktober lalu.

Pengalaman Cools di Jepun bersama kelab Cerezo Osaka sejak Jun lalu turut menjadi kelebihan buat Harimau Malaya.

Pendedahan terhadap sistem dan pendekatan taktikal berbeza di Liga membantunya memahami permainan dengan lebih mendalam serta berkongsi pandangan itu bersama rakan sepasukan.

“Saya boleh membantu rakan sepasukan di atas padang dengan berkongsi pandangan saya dan mungkin membantu barisan pertahanan atau serangan mencari penyelesaian dalam situasi sukar,” katanya.

Sejak membuat penampilan sulung bersama Harimau Malaya pada 2021, Cools telah mengumpul 37 penampilan dan enam gol.

Harimau Malaya kini selesa mendahului Kumpulan F dengan 12 mata, hasil empat kemenangan berturut-turut termasuk kejayaan besar 4-0 ke atas Vietnam pada Jun lalu.

Vietnam di tangga kedua dengan 9 mata, diikuti Laos (3 mata) dan Nepal tanpa sebarang mata.

Hanya juara kumpulan akan layak ke peringkat akhir yang dijadual berlangsung di Arab Saudi pada Januari 2027.

Ringkasan AI

  • KAPTEN Harimau Malaya, Dion Cools menegaskan skuad kebangsaan berada di landasan tepat untuk Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal Walaupun adanya pemain baharu, matlamat dan momentum kemenangan pasukan kekal Skuad tidak terjejas dengan isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan Cools membantu rakan sepasukan dengan pengalaman dan pandangannya dari bermain di Liga Jepun Harimau Malaya mendahului Kumpulan F dengan 12 mata, memimpin ke arah kelayakan ke peringkat akhir di Arab Saudi



Source link

OR

Scroll to Top