am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Pemilik tujuh lot tanah tidak dapat dikesan (TDK) bagi pengambilan balik tanah untuk Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) di Sungai Golok bagi fasa satu hingga fasa tiga.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohamed Fadzli Hassan berkata, lot ini adalah lot yang tidak dapat dikesan di dalam sistem Pendaftaran Hak Milik Berkomputer semasa pewartaan dilakukan.
Katanya, lokasi lot TDK itu membabitkan masing-masing dua lot di Sungai Golok dan Sungai Mentua di Tumpat dan tiga lot di Sungai Lanchang, Pasir Mas.
“Sementara itu, 14 lot lagi bukan lot TDK dan proses pengambilan balik tanah sama ada sudah selesai atau dalam peringkat akhir penyelesaian.
“Daripada 21 lot TDK yang disebut oleh Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, sebenarnya hanya tujuh lot saja yang masih berstatus TDK kerana pemiliknya masih belum dapat dikesan, manakala 14 lot lagi bukan lot TDK.
“Projek tebatan banjir (PLSB) adalah projek Kerajaan Persekutuan dan pengambilan balik tanah untuk tujuan projek itu membabitkan syarikat konsultan dan firma juru ukur yang dilantik oleh Kerajaan Persekutuan. Kerja pengambilan balik juga dibuat oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Rozi Muhammad (PAS-Tendong) mengenai isu pengambilan tanah untuk tebatan banjir di Kelantan membabitkan Sungai Golok bagi fasa satu hingga fasa tiga pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.
Katanya, peranan kerajaan negeri dalam proses itu ialah menerima dokumen lengkap oleh syarikat konsultan dan juru ukur untuk diangkat kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan bagi mendapat kelulusan dan seterusnya membuat pewartaan mengikut Seksyen 4 serta Seksyen 8 Akta Pengambilan Balik Tanah 1960.
“Kelewatan dalam pengambilan balik tanah boleh dielakkan sekiranya syarikat konsultan dan juru ukur yang dilantik oleh Kerajaan Persekutuan merujuk Pejabat Tanah dan Jajahan serta Pejabat Pengarah Tanah dan Galian negeri,” katanya.
Terdahulu, Akmal Nasrullah menerusi video TikTok melahirkan kekesalan mengenai kelewatan pengambilan balik tanah untuk projek tebatan banjir yang bermula tahun 2018 tetapi ada yang masih belum selesai sehingga kini membabitkan 21 lot TDK.
© New Straits Times Press (M) Bhd






