Paris: Polis Perancis menahan tujuh individu yang melakukan salut Nazi ketika perlawanan Liga Negara-Negara antara Perancis dan Croatia di Stade de France, semalam, kata Ketua Polis Paris, Laurent Nunez.
Menurut sumber polis, kira-kira 10 penyokong Croatia melakukan salut Nazi ketika lagu kebangsaan mereka berkumandang sebelum sepak mula dan beberapa daripadanya mengulanginya pada separuh masa pertama perlawanan yang menyaksikan Perancis menang 2-0.
“Tindakan keselamatan yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa di bawah arahan saya memastikan keselamatan penyokong dan pemain serta membawa kepada penahanan tujuh individu yang melakukan salut Nazi sepanjang perlawanan,” kata Nunez di platform X pada Isnin.
“Sukan seharusnya menjadi satu perayaan. Individu seperti ini tidak mempunyai tempat di stadium,” tambahnya.
Sumber polis turut mendedahkan bahawa pihak berkuasa merampas ‘batang besi, belantan teleskopik, kayu tajam dan bom asap’ daripada sebilangan 400 penyokong Croatia yang hadir ke stadium.
Penyokong tegar ultra-nasionalis Croatia sebelum ini sering mencemarkan imej skuad kebangsaan mereka dengan laungan slogan pro-fasis serta mempamerkan simbol rejim pro-Nazi Ustasha yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan serta penganiayaan ratusan ribu etnik Serb, Yahudi, Roma dan rakyat Croatia anti-fasis.
© New Straits Times Press (M) Bhd