Tukar nama Teluk Mexico, Google mungkin kena saman

Tukar nama Teluk Mexico, Google mungkin kena saman


Mexico City: Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum, pada hari Khamis menggesa Google untuk mempertimbangkan semula keputusannya menukar nama Teluk Mexico kepada Teluk Amerika untuk pengguna di Amerika Syarikat (AS)..

Beliau turut menambah bahawa Mexico mungkin akan mengemukakan saman sivil terhadap syarikat itu jika perlu.

Google menukar nama itu bagi pengguna Google Maps di A.S. untuk mencerminkan keputusan kerajaan Presiden A.S., Donald Trump, yang menamakan semula Teluk Mexico.

Sheinbaum telah berulang kali mengecam tindakan tersebut, dengan menegaskan bahawa nama Teluk Mexico telah lama diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Pada hari Khamis, beliau berkata Google masih belum menyelesaikan aduan Mexico sebelum ini.

Beliau menggesa Google untuk mengkaji semula dekri dari Rumah Putih, dengan berhujah bahawa “satu-satunya tempat ia berkuat kuasa adalah di mana (A.S.) mempunyai kedaulatan, atau sehingga 22 batu nautika dari pantai.”

Bagi pengguna Google Maps di Mexico, nama teluk itu kekal sebagai “Teluk Mexico.” Di luar kedua-dua negara, pengguna melihat kedua-dua nama pada Google Maps.

Jika Google tetap berpegang pada keputusannya, Mexico mungkin akan membawa isu ini ke mahkamah, kata Sheinbaum.

“Jika perlu, kami akan mengemukakan saman sivil,” tambahnya.

“Bahagian perundangan kami sedang meneliti apa implikasi tindakan itu, tetapi kami berharap (Google) akan mempertimbangkannya semula.”

Google tidak segera memberikan maklum balas terhadap permintaan untuk komen.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top