Tular kes curi beg dalam kereta di Bangi, mangsa diminta lapor polis

Tular kes curi beg dalam kereta di Bangi, mangsa diminta lapor polis


hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kajang: Polis menyeru pemilik kenderaan yang tular di media sosial susulan kejadian seorang lelaki dipercayai mencuri sebuah beg dalam kenderaan yang ditinggalkan tidak berkunci tampil di Bangi, di sini, membuat laporan untuk membantu siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menyedari video tular berkenaan pada 3.30 petang, semalam yang dikongsikan di TikTok.

Menurutnya, video berkenaan memaparkan kejadian kecurian di dalam sebuah kenderaan disyaki ditinggalkan tidak berkunci dilakukan oleh seorang lelaki tidak dikenali berpakaian hitam dengan memakai topi keledar dan menunggang motosikal berwarna biru gelap.

“Kejadian itu dikatakan berlaku di kawasan Bangi namun sehingga kini pihak kami masih belum menerima sebarang laporan polis daripada mangsa yang terbabit dalam kejadian itu. Tiada maklumat kerugian diperoleh.

“Justeru, polis menyeru supaya mangsa dalam kejadian ini tampil untuk membuat laporan polis bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian atau mangsa kejadian boleh berhubung dengan mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor K Suresh di talian 017-4333795 untuk membantu siasatan.

Terdahulu, video memaparkan seorang wanita keluar daripada keretanya dipercayai tidak mengunci kenderaan itu sebelum seorang lelaki dilihat menghampiri kereta itu dan cuba membuka pintu.

Suspek kemudian dilihat membuka pintu bahagian pemandu dan menutupnya sebelum kembali membuka pintu dengan membawa keluar sebuah beg dan melarikan diri dengan menunggang motosikalnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top