am@hmetro.com.my
Seremban: Pihak polis mengenal pasti dan mengambil tindakan sepatutnya terhadap anggota terbabit kejadian sebuah kenderaan agensi keselamatan itu yang dikatakan melanggar lampu isyarat merah.
Kejadian dipercayai di persimpangan NSK, Jalan haruan 2, di sini, 12.20 tengah malam, 16 September lalu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, pihaknya mengambil maklum penularan sebuah rakaman video di media sosial yang memaparkan kejadian itu.
“Polis mengesahkan siasatan sedang dijalankan dan sudah mengenal pasti keadaan sebenar insiden itu. Selepas siasatan selesai, tindakan dalaman akan diambil pada yang (individu) terbabit,” katanya, hari ini.
Beliau menegaskan, setiap pegawai dan anggota polis tertakluk kepada peraturan jalan raya, kecuali dalam keadaan tertentu yang membabitkan tugasan kecemasan serta memerlukan tindakan segera demi keselamatan dan kelancaran operasi.
Menurutnya, sekiranya siasatan mendapati berlaku pelanggaran prosedur, tindakan sewajarnya akan diambil mengikut undang-undang.
Justeru beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
“Orang ramai juga diseru untuk mendapatkan maklumat sahih hanya melalui saluran rasmi PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan tidak menularkan spekulasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam,” katanya.
Menerusi rakaman video tular itu, pengguna jalan raya dirakam hampir terlanggar sebuah kereta polis yang dikatakan melanggar lampu isyarat merah. Bagaimanapun, orang awam itu sempat membrek.
© New Straits Times Press (M) Bhd