Soalan:
Biasanya di negara kita pada batu nisan ada ditulis nama empunya kubur. Apakah sebenarnya hukum menulis nama si mati pada batu nisannya itu kerana saya ada dengar setengah orang kata haram?
Jawapan:
Hukum menulis nama empunya kubur seperti yang biasa dilakukan oleh masyarakat Islam di sini tidaklah haram.
Pendapat jumhur ulamak hukumnya adalah makruh dan setengah fuqahak berkata harus menulis namanya di kubur jika ada keperluan seperti supaya dikenal oleh orang yang ziarah dan jangan menulis namanya itu kerana bermegah-megah atau menunjuk-nunjuk kerana ia perbuatan yang dicela.
Tersebut pada Kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyah:
واختلف الفقهاء أيضاً في الكتابة على القبر. فذهب المالكية والشافعية والحنابلة إلى كراهة الكتابة على القبر مطلقاً لحديث جابر. وذهب الحنفية والسبكي من الشافعية إلى أنه لا بأس بالكتابة إن احتيج إليها
Ertinya: “Dan berselisih oleh fuqahak juga pada hukum menulis nama di atas kubur. Maka berjalan mazhab Maliki dan Syafie dan Hanbali kepada makruh menulis di atas kubur secara mutlak kerana hadis Jabir. Dan berjalan oleh mazhab Hanafi dan Imam As-Subki dari ulamak mazhab Syafie kepada bahawa tidak mengapa menulis di atas kubur jika berhajat kepadanya.”
Berkata Syeikh Athiyah Saqr:
وإن كانت الكتابة للفخر والمباهاة فهى مذمومة قطعا
Ertinya: “Dan jika adalah menulis nama atas kubur itu kerana berbangga-bangga atau menunjuk-nunjuk maka ia adalah dicela sama sekali.” (Darul Ifta Mesir)
Wallahua’lam – HARAKAHDAILY 29/11/2024
Semua reaksi:
633633