Tunai ibadah dengan khusyuk, hayati gerakan, bacaan

Tunai ibadah dengan khusyuk, hayati gerakan, bacaan


Persoalan solat yang tidak khusyuk bukanlah suatu perkara yang remeh, tetapi ia merupakan suatu seruan daripada Allah SWT kepada kita dalam Surah Al-Hadid, ayat 16, Allah SWT berfirman: “Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mengingati Allah?”

Perlu kita renungkan, sampai bila kita akan terus bersolat tanpa khusyuk? Apakah kita merasa selesa dengan kelalaian yang mencengkam jiwa kita ketika mendirikan solat? Atau adakah kita masih menunggu masa yang entah bila untuk benar-benar menghayati setiap gerakan dan bacaan solat?

Jawapan kepada pertanyaan ini seharusnya menjadi titik tolak untuk kita merenung diri. Jika kita masih beranggapan ‘belum masanya,’ maka kita perlu bertanya, bila pula masanya?

Jangan biarkan sikap alpa ini menghantui diri hingga sampai ke penghujung kehidupan kita yang sementara ini.

Petanda sebegini mungkin menunjukkan bahawa jiwa kita ini sudah mula merasakan kebimbangan terhadap keadaan sekeliling kita.

Amanah solat

Sampai bila kita akan membiarkan solat kita kosong dari makna? Berapa lama kita akan mendirikan solat dengan rangka yang tanpa jiwa, melaksanakan setiap gerakan tanpa ketundukan yang sebenar?

Sudah tiba masanya bagi kita untuk kembali kepada hakikat solat.

Solat yang dipersembahkan kepada Allah sepatutnya diiringi dengan penghayatan dan kekhusyukan.

Ketiadaan kualiti ini menjadikan solat kita seperti jasad tanpa roh, tidak mempunyai nilai yang sesungguhnya.

Apa sebenarnya tujuan mendirikan solat?

Dalam Surah Taha, ayat 14, Allah menjelaskan tujuan solat dengan jelas: “Sesungguhnya Akulah Allah, tiada tuhan melainkan Aku. Oleh itu, sembahlah Aku, dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.”

Ini adalah inti pati solat; untuk mengingat Allah. Solat yang tidak disertai dengan ingatan kepada Allah tidak akan mencapai tujuannya.

Ia menjadi cacat dan sepatutnya kita memahami bahawa solat bermaksud membina hubungan yang lebih dekat dengan Pencipta kita.

Ingat Allah, dan hati kita akan tenang. Seperti yang dinyatakan dalam Surah Al-Ra’d, ayat 28: “Ketahuilah, dengan mengingati Allah, tenang tenteramlah hati manusia.”

Kewajiban khusyuk dalam solat

Khusyuk adalah roh solat. Tanpa khusyuk, solat kita ibarat bangkai yang tidak memberi erti.

Jika kita tidak khusyuk, solat yang kita lakukan mungkin tidak membawa apa-apa manfaat.

Keyakinan bahawa tanpa khusyuk, segala amal kita menjadi sia-sia seharusnya menyedarkan kita.

Tenaga spiritual dalam solat terletak pada seberapa dalam kita meresapi makna dan penghayatan dalam setiap rukun dan bacaan.

Solat tanpa khusyuk, sama sekali, tidak akanmampu membantu kita menanggulangi cabaran dan ujian kehidupan.

Realiti solat hari ini

Realitinya, khusyuk dalam solat semakin pudar dalam kalangan umat Islam.

Imam al-Mundziri meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Perkara terawal yang akan diangkat daripada umat ini ialah khusyuk, sehingga kamu tidak lagi melihat seorang pun yang khusyuk.”

Kita sedang menyaksikan fenomena ini berlaku di sekeliling kita. Namun, kita tidak harus berputus asa.

Kesedaran untuk memperbaiki kekhusyukan dalam solat adalah langkah pertama ke arah perubahan yang lebih baik.

Kesimpulan

Teguran Allah seharusnya menjadi peringatan untuk kita semua.

Mari kita renungkan kembali sikap kita dalam mendirikan solat.

Sudah tiba masanya untuk kita khusyuk dan benar-benar menghayati solat kita.

Dengan memperkuatkan hubungan kita dengan Allah SWT melalui solat yang penuh khusyuk, insya-Allah, kita akan menemukan ketenangan jiwa dan beroleh kejayaan dalam hidup ini.

Penulis ialah Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam, Wilayah Persekutuan (Jawi)

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top