“DATANG jumpa, anggap saya sebagai bapa.
Itu reaksi Presiden Kelab Bola Sepak Kelantan The Real Warriors (Kelantan-TRW), Tan Sri Annuar Musa selepas diminta mengulas isu tuntutan hutang melibatkan bekas pemain pasukan itu musim 2024/2025 lalu.
Beliau berkata, sebagai ‘orang tua’ dalam bola sepak tidak semua perkara boleh didedahkan kepada umum.
“Kalau kelab panggil, jemput…nasihat saya kepada pemain profesional duduklah berunding. Kalau berunding itu buntu, dalam bola sepak ada sistem.
“Macam saya kata tadi, kalau kelab berkeras tidak mahu bayar itu lain. Tapi kelab nak bayar, sebagai orang bola, mereka kena faham, adakah nak tengok kelab ini mati.
“Kita boleh matikan, tapi hutang tak boleh bayar. Jadi beri peluang kepada kelab untuk hidup. Jangan terbawa-bawa dengan emosi dan sentimen,” katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar rasmi pertama di bilik mesyuarat Stadium Sultan Muhammad IV, di sini pada Selasa.
Annuar memberi jaminan, semua hutang-hutang itu akan dibayar dan meminta pemain terlibat untuk memberi ruang kepada Kelantan-TRW menyusun dan berunding.
“Siapa yang ‘urgent’ nak duit cepat, kita boleh berkorban (bayar), orang kata situasi menang-menang.
“Bantulah kita sikit dengan beri diskaun dan semua hutang ini melibatkan tahun 2025. Kita akan selesaikan hujung tahun ini. Hutang ini melibatkan Februari, Mac dan April (2025),” katanya.
Menurut Annuar, semua hutang yang melibatkan Februari, Mac dan April 2025 itu akan diselesaikan sehingga tamat musim ini.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, bekas ketua jurulatih dan beberapa pemain menolak tiga tawaran Kelantan-TRW bagi menyelesaikan isu pembayaran gaji pemain dan memberi tempoh sehingga Selasa ini.
Menurut wakil, Rezal Zambery, beberapa siri perbincangan telah dilakukan antara pihak pengurusan KDN FC untuk menyelesaikan gaji tertunggak berjumlah ratusan ribu ringgit itu sejak tiga bulan lalu.
Tiga pilihan tawaran berkenaan ialah pembayaran 50 peratus daripada jumlah gaji bulanan, RM200 sebulan sehingga tamat semua hutang atau RM500 untuk setiap perlawanan.
Dalam perkembangan lain, Annuar berkata, Kelantan-TRW sudah menyelesaikan tujuh daripada sembilan sekatan perpindahan yang dikenakan ke atas pasukan itu oleh Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA).
Ujarnya, baki dua lagi sekatan itu akan diselesaikan bulan ini dan hujung Ogos nanti.