mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Pemain gitar dan pengasas kumpulan Barbarik, JoBranko belum mahu mendedahkan sepenuhnya gimik yang bakal ditampilkan pada Konsert Barbarik: Pentas Peluru Cokelat yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 28 Jun depan.
JoBranko berkata, gimik-gimik itu memang akan digunakan sebagai ‘peluru’ untuk menarik penonton hadir ke konsert terbabit.
“Tapi yang pastinya memang segmen tengah itu akan buat orang, peminat makan popcorn sambil membaca, asyik. Dia boleh fikir sampai macam itu.
“Sebab kalau saya cerita sekarang ini agak sangat awal. Kita boleh tunjukkan perkara ini masa kita praktis. Kita akan live sikit-sikit kepada semua.
“Sebab kita ada pasukan media sosial yang akan kendalikan benda ini. Yang pastinya memang kalau saya sebut retro itu antara saya dan Muss itu orang dah boleh agak,” katanya pada sidang media Konsert Barbarik : Pentas Peluru Cokelat di Hotel Royale Chulan, di sini, hari ini.
JoBranko berkata, dia belum bersedia memberitahu, namun peminat boleh membayangkan bagaimana bentuk lagu-lagu itu.
Dalam pada itu, JoBranko berkata, Barbarik yang turut dianggotai Muss (penyanyi), Rozaimi (bass) dan Ainol (dram) akan menampilkan lagu ciptaannya untuk kumpulan Wings sebelum ini pada konsert terbabit.
“Album Peluru Cokelat pun baru ada enam lagu baharu, jadi memang kami perlukan lagu-lagu yang zaman saya dengan Muss. Selepas itu, saya akan pilih lagu-lagu yang saya hasilkan dengan band lama.
“Sebenarnya, kami mahu menyanyikan lagu sesiapa pun boleh sebab ada lagu yang saya hasilkan, jadi tiada masalah. Tapi, menerusi konsert ini, kami mahu hasilkan muzik lebih segar berbanding sebelum ini.
“Ada peminat nak dengar lagu bersama band sebelum ini, jadi kami beri sikit apa yang mereka nak dengar. Ada yang masih belum biasa dengan muzik Barbarik dan lebih suka lagu-lagu lama,” katanya.
Konsert anjuran Karri Talk Production dan Pentasarbarik Sdn Bhd selaku penganjur bersama ini akan berlangsung selama dua jam dengan persembahan sekitar 20 lagu, termasuk lagu lama dan baharu.
Tidak ketinggalan, JoBranko turut mengadakan segmen khas dengan mengundang pemuzik seperti Karl Cromok, Shah Slam, Muzza dan Ujang Tukiman bersama lapan barisan ‘string octet’ mengiringi persembahan mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd