Usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman sekali lagi mencuri perhatian apabila meluahkan rasa tidak puas hati terhadap sikap segelintir individu yang gemar menunjuk kemewahan, namun culas melunaskan hutang.
Menerusi perkongsian di platform Threads, Aliff secara terbuka mengkritik golongan yang disifatkan sebagai ‘acah kaya’, tetapi liat membayar hutang.
“Saya benci orang acah-acah kaya ni tapi jenis kuat berhutang, tak reti nak bayar.
“Dekat media sosial update bukan main mega bercuti luar negara, pergi umrah tapi hutang pura-pura lupa.
“Bila kita minta duit dianggap kita macam pengemis,” katanya.
Dalam masa sama, Aliff turut berseloroh dengan kenyataannya yang seolah-olah ‘makan dalam’, sekali gus mengundang pelbagai reaksi netizen.
“Siapa ada member macam tu? Siapa makan cili dia rasa pedas,” ujarnya.







