Tunku Abdul Rahman bakal mengorak haluan baharu bersama Johor Racing tahun depan

Tunku Abdul Rahman bakal mengorak haluan baharu bersama Johor Racing tahun depan


KUALA LUMPUR – Pasukan Johor Motorsport Racing (JMR) bakal menamatkan kerjasama dengan Triple Eight Race Engineering dan Mercedes-AMG Motorsport sekali gus mengorak haluan baharu tahun depan.

Perkara itu diumumkan Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim selaku ketua dan pelumba pasukan berkenaan dalam hantaran Instagram hari ini.

Tunku Abdul Rahman turut menzahirkan rasa bangga atas pencapaian bersama Triple Eight dan mengucapkan terima kasih terhadap kerja keras semua pihak yang terlibat.

“Selepas enam tahun yang penuh kenangan bekerja bersama @tripleeightraceengineering dan @mercedesamgmotorsport, saya telah memutuskan masanya telah tiba untuk saya mengambil hala tuju baharu pada 2025 bersama @johor.racing.

“Saya amat bertuah kerana dapat bekerjasama dengan Triple Eight sejak 2017 dan mereka telah menyokong saya dalam setiap langkah sejak permulaan kerjaya perlumbaan saya pada 2019. Tanpa mereka, JMR tidak akan menjadi pasukan perlumbaan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa seperti hari ini,” menurut hantaran itu.

Mengenai rancangan selepas ini, Tunku Abdul Rahman menegaskan fokus utama adalah untuk membina pasukan tempatan bertujuan memupuk bakat setempat dalam semua aspek sukan permotoran di Malaysia sambil menyokong perkembangan sukan itu dalam negara.

“Ini merupakan hala tuju yang sentiasa menjadi keutamaan saya dan sesuatu yang saya sasarkan sejak awal. Saya teruja untuk melihat hasil yang bakal diperoleh daripada peluang baharu ini pada 2025.

“Terima kasih kepada anda semua yang telah bersama saya dalam perjalanan ini; sokongan anda telah membakar semangat saya dan memotivasikan saya untuk mengejar impian dan saya harap dapat terus membanggakan anda,” tambahnya.- BERNAMA



Source link

OR

Scroll to Top