mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan kesediaannya untuk bertemu dengan peminat Harimau Malaya pada bila-bila masa bagi menjelaskan isu semasa yang melanda bola sepak negara.
Kesediaan itu dinyatakan Baginda selepas menerima cadangan daripada seorang peminat di media sosial yang meminta satu sesi pertemuan diadakan bersama penyokong bola sepak tempatan.
Pertemuan itu dicadangkan bagi memberi penjelasan lebih terperinci, dipercayai berkaitan isu membabitkan tujuh pemain Harimau Malaya yang kini menjadi perhatian dalam kalangan peminat bola sepak negara.
“Mohon Tuanku buat perjumpaan dengan penyokong fanatik Harimau Malaya dan jelaskan dengan lebih teliti,” tulis seorang pengguna media sosial bernama asrulaimn.
Menjawab permintaan itu, Tunku Ismail menyatakan Baginda bersedia untuk bertemu dengan peminat pada bila-bila masa dan di mana sahaja, malah memberi peluang kepada penyokong memilih masa serta lokasi pertemuan.
“Masa dan tempat anda pilih. Lelaki sebenar tidak akan lari tetapi kebanyakan bukan kisah apa betul dan benar.
“Mereka lebih cenderung nak habiskan pengaruh saya dalam industri bola sepak tempatan, itu sahaja,” tulis Baginda menerusi satu hantaran di platform X (Twitter).
© New Straits Times Press (M) Bhd






