lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkenan menerima mengadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Bukit Tunku di ibu negara, hari ini.
Dalam satu kenyataan, Perdana Menteri berkata, pertemuan itu memberikan ruang yang baik untuk beliau dan Tunku Mahkota Ismail bertukar pandangan dan membincangkan perkara terkait kebajikan serta kesejahteraan rakyat, khususnya di Johor.
Anwar berkata, pertemuan berkenaan berlangsung dalam suasana mesra dan harmoni.
“Kami turut membincangkan perkembangan semasa dan perancangan berterusan Kerajaan MADANI dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negeri.
“Tunku Mahkota Ismail dan saya juga sepakat untuk terus mengekalkan hubungan yang baik, selain mengukuhkan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor,” katanya, hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd






