September 8, 2024

Tuntut Parlimen Alor Setar, AMK mahu BN bermuhasabah

Tuntut Parlimen Alor Setar, AMK mahu BN bermuhasabah


KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) meminta Barisan Nasional (BN) bermuhasabah dan melakukan bedah siasat berhubung penolakan rakyat terhadap parti itu sebelum mahu menuntut kerusi Parlimen Alor Setar pada pillihan raya umum (PRU) akan datang.

Ketua AMK Bahagian Alor Setar, Tan Jin Hao berkata, BN Kedah juga perlu menyedari situasi politik semasa menunjukkan penyokong-penyokong parti itu sudah beralih arah dan memberi sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).

Malah, ujar beliau, calon BN juga tewas di kerusi tersebut pada dua PRU sebelum ini kepada calon PKR dengan majoriti yang besar.

“AMK Alor Setar mengambil perhatian akan kenyataan yang dikeluarkan Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkaitan permintaan agar kerusi Parlimen Alor Setar diberikan kembali kepada BN untuk ditandingi pada PRU-16.

“AMK Alor Setar melihat dari segi situasi keadaan hari ini, Parlimen Alor Setar patut menjadi kerusi yang kekal bagi Parti Keadilan Rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sabtu lalu, Mahdzir pada Mesyuarat UMNO Alor Setar memaklumkan terdapat usul diluluskan supaya kerusi Parlimen Alor Setar dan satu kerusi DUN di kawasan itu ditandingi parti tersebut bagi memperkukuh kedudukan BN di Kedah.

Pada PRU-15, Parlimen Alor Setar dimenangi Perikatan Nasional (PN) menerusi calonnya, Afnan Hamimi Taib Azamudden dengan majoriti 9,931 undi apabila menewaskan calon PKR, Simon Ooi Tze Min dan calon BN, Tan Chee Hiong.

Dalam pada itu, Jin Hao turut mengingatkan Mahdzir yang mana pada pilihan raya negeri (PRN) Kedah lalu, BN dan PH telah sepakat berhubung soal pembahagian kerusi yang mana kedua-dua parti diberikan 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagaimanapun, jelasnya, BN tewas di kesemua 18 kerusi ditandingi manakala PH berjaya menang tiga kerusi yang kini menjadi suara wakil pembangkang di sidang DUN. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top