Tuntutan sensitif perlu ambil kira kedudukan bahasa Melayu dalam Perlembagaan – PM

Tuntutan sensitif perlu ambil kira kedudukan bahasa Melayu dalam Perlembagaan – PM


am@hmetro.com.my

Langkawi: Perdana Menteri menjelaskan sebarang tuntutan yang menjurus kepada sensitiviti agama, bangsa dan kaum perlu mengambil kira kedudukan bahasa Melayu dalam Perlembagaan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan terus mempertahan dan mendukung prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan berhubung kedudukan bahasa Melayu.

Katanya, usaha yang sepatutnya dilakukan adalah memartabatkan penggunaan bahasa Melayu bagi menjadikannya bahasa ilmu yang dikuasai semua pihak di negara ini.

“Saya dah jelaskan, saya tak peduli siapa dia, parti mana, pengaruh mana. Kalau saya mahu didukung sebagai Perdana Menteri, saya mesti pertahankan prinsip perlembagaan.

“Apa yang berbeza? Perbezaannya ialah tuntutan itu, tuntutan yang menjurus kepada satu kaum dan satu bahasa. Itu saya tidak setuju sama sekali. Bawa dulu mesej pertahankan martabat bahasa kebangsaan.

“Kemudian rangkul sekali keperluan penguasaan bahasa lain. Itu kita boleh terima,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nur Al-Hidayah, Kampung Kelibang, di sini, hari ini.

Anwar berkata, kerajaan juga tidak menolak penggunaan bahasa lain termasuk usaha memantapkan tahap penguasaan bahasa Inggeris, Mandarin, Tamil dan Arab dalam kalangan rakyat.

Katanya, perkara itu dilaksanakan di peringkat universiti apabila bahasa Inggeris digunakan dalam proses pembelajaran di peringkat universiti bagi mata pelajaran tertentu.

“Saya jelaskan begini. Ini Malaysia, mesti ingat bahasa Melayu bahasa rasmi. Bahasa Melayu harus diangkat sebagai bahasa ilmu yang dikuasai oleh semua rakyat Malaysia.

“Kalau ini dah jelas, hendak bangkitkan soal keperluan peningkatan penggunaan bahasa Inggeris, saya setuju. Tapi bahasa Melayu untuk bidang teknologi baharu, untuk bahasa ilmu, mesti dimantapkan.

“Penguasaannya itu harus baik di kalangan semua rakyat, semua aliran. Saya tak kira Melayu, Cina, India mesti menguasai bahasa Melayu,” katanya.

Beliau berkata, perbincangan mengenai penguasaan bahasa perlu dibuat dalam konteks keterangkuman membabitkan penggunaannya untuk semua kaum.

“Apakah ada keperluan penguasaan bahasa Inggeris yang lebih baik? Jawapannya, ya.

Apakah keperluan untuk tingkatkan penggunaan bahasa Cina di beberapa kursus di universiti? Tak ada masalah termasuk soal UEC.

“Tetapi bila naratif atau wacana itu menjurus kepada satu bahasa, satu kaum dan meninggalkan perbincangan soal bahasa utama negara kita, ini yang jadi masalah.

“Jadi, saya ingatkan mana-mana kaum, parti mahu kemukakan, tidak ada masalah. Tapi mesti ingat sebagai rakyat yang mematuhi prinsip perlembagaan, harus mula keutamaan penguasaan bahasa Melayu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top