PENYERANG England, Tammy Abraham, kini hampir pasti menyertai kelab gergasi Turkiye, Besiktas, selepas satu video beliau dalam perjalanan ke negara itu dimuat naik oleh kelab tersebut di media sosial.
Menerusi rakaman itu, pemain berusia 27 tahun berkenaan mengesahkan perpindahan sambil berkata: “Hello Black Eagles, saya datang untuk anda. Jumpa di lapangan terbang hari ini.”
Abraham sebelum ini dipinjamkan kepada AC Milan bagi musim 2024/25, menyaksikannya menjaringkan 10 gol sepanjang musim ketika kelab tersebut menamatkan saingan Serie A di tangga kelapan.
Bagaimanapun, Milan memilih untuk tidak mengekalkan beliau secara tetap bersama I Rossoneri itu.
“Sebanyak 10 gol dan usaha sepenuh masa setiap minit! Terima kasih, Tammy,” kata kenyataan rasmi AC Milan dalam penghormatan ringkas sempena perpisahan tersebut.
Abraham yang pernah menjaringkan tiga gol dalam 11 penampilan bersama skuad kebangsaan England, memulakan karier profesionalnya bersama Chelsea.
Beliau turut dipinjamkan ke Bristol City, Swansea City dan Aston Villa sebelum berhijrah ke AS Roma dengan nilai perpindahan sekitar 34 juta pound sterling (RM196.5 juta) pada 2021.
Sepanjang bersama Roma, Abraham mencipta impak besar apabila membantu kelab itu menjuarai Liga Konferensi Europa pada 2022 di bawah kendalian Jose Mourinho.
Kini, beliau bakal memulakan lembaran baharu bersama Besiktas, dengan hasrat mengembalikan prestasi terbaik menjelang musim baharu Liga Super Turkiye.