TYT kesembilan Sabah meninggal dunia, bendera negeri dikibar separuh tiang hari ini

TYT kesembilan Sabah meninggal dunia, bendera negeri dikibar separuh tiang hari ini


am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri mengisytiharkan hari ini sebagai hari berkabung berikutan kematian bekas Yang di-Pertua Negeri Sabah Kesembilan, Tun Ahmadshah Abdullah, malam tadi.

Berikutan itu, bendera Sabah dikibarkan separuh tiang pada hari ini sebagai tanda penghormatan terhadap Allahyarham Tun Ahmadshah.

Pengumuman itu dibuat Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong menerusi satu kenyataan yang turut mengesahkan pemergian Tun Ahmadshah yang dilaporkan meninggal dunia pada 8.45 malam tadi.

“Adalah dimaklumkan bahawa Tun Datuk Seri Panglima Haji Ahmadshah bin Abdullah, Mantan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang diPertua Negeri Sabah kembali ke Rahmatullah pada 8.45 malam, hari Selasa iaitu 20 Mei 2025, bersamaan dengan 23 Zulkaedah 1446 Hijrah.

“Kerajaan Negeri mengumumkan tempoh berkabung rasmi selama satu (1) hari dan bendera negeri Sabah dikibarkan separuh tiang selama tempoh itu,” katanya dalam kenyataan berkenaan.

Sementara itu, menerusi satu perkongsian di laman Facebook, cucu Tun Ahmadshah, Arfanshah Abdul Gafar memaklumkan bekas TYT dari 2003 hingga 2010 itu dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital KPJ Kota Kinabalu.

“Assalamualaikum WBT. Mohon Sedekahkan Al-Fatihah buat nenda saya Tun Datuk Seri Panglima Ahmadshah bin Abdullah yang meninggal dunia sebentar tadi di KPJ Hospital Kota Kinabalu. Al-Fatihah,” katanya.

Jenazah Allahyarham dijangka dibawa ke Masjid Negeri Sabah untuk penghormatan terakhir bermula 10 pagi ini sebelum disolatkan selepas zohor nanti dan kemudian dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Inanam Laut, dekat sini untuk pengebumian.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top